Tune Talk mencipta satu lagi inovasi dalam industri telekomunikasi dengan memperkenalkan Tune Talk E-Roaming (Enhanced Roaming), sebuah inisiatif yang mengubah pengalaman rayauan antarabangsa untuk pengguna prabayar di Malaysia. Menerusi perkhidmatan baharu ini, pelanggan kini boleh membawa peruntukan data domestik mereka ke luar negara pada kelajuan penuh tanpa caj tambahan, sekali gus menghapuskan keperluan untuk membeli pas rayauan sementara atau mengaktifkan eSIM tambahan ketika melancong. Sebagai pengendali rangkaian mudah alih berasaskan awan yang berkembang pesat di Asia, Tune Talk memperkenalkan pengalaman sambungan yang lebih fleksibel menerusi pelan Epik+ 50 pada harga RM50 sebulan. Pelan ini menyepadukan ciri E-Roaming secara terus, membolehkan peranti pelanggan tersambung secara automatik sebaik sahaja tiba di destinasi luar negara terpilih tanpa memerlukan proses pendaftaran, kod pengaktifan atau langganan tambahan. Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Gurtaj Singh Padda berkata, E-Roaming diperkenalkan bagi menjawab cabaran pengguna yang sering berdepan dengan sambungan terhad ketika berada di luar negara. Dengan teknologi ini, pelanggan boleh menikmati pengalaman digital yang lebih lancar seolah-olah mereka masih berada di Malaysia, tanpa kebimbangan terhadap had data, kelajuan perlahan atau caj tersembunyi. Berbeza daripada model rayauan tradisional yang sering ditawarkan sebagai perkhidmatan tambahan berbayar, Tune Talk mengambil pendekatan berbeza dengan mengintegrasikan rayauan antarabangsa terus ke dalam pelan prabayar sedia ada. Melalui Epik+ 50, pelanggan menikmati sehingga 500GB data domestik, kelajuan penuh serta akses rayauan automatik di 13 buah negara termasuk Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina, Kemboja, Brunei, Jepun, Korea Selatan, India, Arab Saudi, Australia dan New Zealand. Tune Talk menyifatkan Epik+ 50 bersama E-Roaming sebagai pelan prabayar pertama seumpamanya di dunia yang menggabungkan lima ciri utama dalam satu tawaran, iaitu struktur prabayar, rayauan percuma, peruntukan data domestik yang besar, sambungan berkelajuan penuh serta liputan antarabangsa yang meluas. Inovasi ini bertujuan memberikan lebih banyak nilai dan kemudahan kepada pengguna moden yang semakin bergantung kepada sambungan digital ketika melakukan perjalanan. Selain pelan individu, ciri E-Roaming turut tersedia untuk pelanggan Epik+ Family dan Epik+ Family Safe, memastikan setiap ahli keluarga termasuk pengguna muda dapat kekal berhubung ketika berada di luar negara. Dengan menggabungkan kemudahan komunikasi, perlindungan dan manfaat gaya hidup dalam satu pelan, Tune Talk E-Roaming membawa pengalaman perjalanan yang lebih mudah, pintar dan tanpa sempadan. Tune Talk E-Roaming kini boleh didapati melalui aplikasi mudah alih Tune Talk serta laman rasmi Tune Talk, menawarkan penyelesaian baharu kepada rakyat Malaysia yang mahukan sambungan internet lebih lancar di mana sahaja mereka berada. Post navigation 223 PEMENANG TELAH DIUMUMKAN, PEMILIK TQ WULING BINGO EV AKAN DIDEDAHKAN DALAM MASA TERDEKAT!