TESCO Store Malaysia (Tesco) menjalin kerjasama dengan Astro untuk memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi peraduan ‘Hero Bangkit’ pada bulan Merdeka ini.
Pengarah Pelanggan Tesco, Vivian Yap berkata, ‘Hero Bangkit’ dianjurkan untuk menghargai dan memperkasakan usahawan yang mampu bertahan dan berkembang dalam waktu serba mencabar ini.
“Bulan Merdeka adalah masa terbaik untuk mengadakan peraduan ini memandangkan ia dikaitkan dengan usaha kepahlawanan dan usahawan ini adalah hero di mata kami.
“Kami kagum dengan semangat keusahawanan mereka sepanjang penularan koronavirus (Covid-19), terutamanya melihat bagaimana rakyat Malaysia memulakan perniagaan di rumah dengan menjahit, memasak dan membuat kek,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
Beliau berkata, penganjuran juga sejajar dengan usaha Tesco yang sentiasa menyokong produk buatan tempatan.
‘Hero Bangkit’ yang diilhamkan daripada semangat #kitajagakita bermula dari 6 hingga 30 Ogos ini.
Ia akan menyaksikan seramai 10 usahawan tempatan memenangi baucar Tesco bernilai RM50,000 dan pakej pengiklanan percuma yang akan disiarkan di platform terestrial dan digital Astro Radio.
Mereka yang berminat menyertainya boleh melayari web www.herobangkit.com.my.Sementara itu, Naib Presiden, Astro Media Solutions, Jeyapuvan Somasundram berkata, pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan Tesco untuk menyokong PKS menerusi ‘Hero Bangkit’.
“Ia amat menginspirasikan apabila orang ramai dan organisasi saling membantu ketika perniagaan menghadapi gangguan ekonomi yang belum pernah terjadi sebelum ini.
“Justeru, Astro memperkenalkan beberapa inisiatif untuk menyokong PKS di platform TV, radio, digital dan perdagangan kami,” katanya.