Filem animasi kebanggaan Malaysia, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2), bakal menemui peminat di seluruh negara bermula 22 Mei 2025. Melihat kepada sambutan luar biasa terhadap francais ini, dua rangkaian pawagam utama Golden Screen Cinemas (GSC) dan TGV Cinemas (TGV) telah membuka tempahan awal tiket bermula hari ini, 14 Mei 2025 di lebih 70 lokasi pawagam seluruh negara.
Menariknya, penonton kini boleh menonton Tayangan Awal EATM2 pada 20 dan 21 Mei 2025, memberikan peluang eksklusif untuk menjadi antara yang pertama menyaksikan sambungan aksi Ali dan pasukannya. Tempahan awal ini membolehkan peminat merancang sesi menonton dengan lebih selesa dan teratur, apatah lagi bersempena musim cuti sekolah yang bakal tiba.
Langkah membuka tayangan awal ini membuktikan keyakinan tinggi terhadap kekuatan jenama Ejen Ali sebuah karya animasi tempatan yang telah mencipta fenomena sejak kemunculan sulungnya, dan kekal relevan merentas usia daripada generasi muda hingga dewasa.
Sekuel kali ini menjanjikan pengalaman sinematik yang lebih matang dan emosi. Ejen Ali The Movie 2 memperkenalkan evolusi watak utama, Ali, yang kini dilengkapi dengan sut perisai SATRIA, selain meneroka hubungan kompleks bersama Ejen Alicia. Gabungan elemen futuristik dan kisah menyentuh perasaan menjadikan filem ini bukan sahaja untuk kanak-kanak, tetapi juga tontonan bermakna buat seisi keluarga.
Menambah keterujaan, TGV memperkenalkan pendekatan interaktif istimewa menerusi avatar watak seperti Ejen Ali, Neonimus dan Satria pada laman web dan aplikasi mereka. Setiap tempahan tempat duduk akan dihiasi avatar tersendiri, mencipta pengalaman tempahan yang lebih menyeronokkan dan imersif, selaras dengan semangat pahlawan digital yang dibawa oleh EATM2.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada kempen “Home of Heroes” oleh TGV sebuah penghormatan kepada karya tempatan yang mengangkat industri kreatif Malaysia ke tahap yang membanggakan. Bermula 23 hingga 31 Mei 2025, peminat yang hadir dengan pakaian bertemakan Ejen Ali ke mana-mana lokasi TGV turut berpeluang menikmati minuman percuma sebagai penghargaan istimewa sempena cuti sekolah.
Dengan tempahan awal yang kini dibuka, peminat diseru untuk segera mendapatkan tiket mereka bukan hanya untuk menjadi yang terawal menonton filem ini, tetapi juga merasai pengalaman sinematik eksklusif hasil kolaborasi antara WAU Animation, Primeworks Studios, dan Komet Productions.
Jangan lepaskan peluang untuk menyertai misi epik ini tayangan awal bermula 20 Mei 2025! Saksikan sendiri bagaimana Ejen Ali kembali dengan aksi penuh bergaya dalam sebuah filem animasi tempatan bertaraf antarabangsa.
Tonton Treler Rasmi EJEN ALI THE MOVIE 2 di sini:
https://youtu.be/5nD1LWmAeKc?si=xPVusg_hDpqzHoTQ