Teater Muzikal Semarak Pertiwi

Teater Muzikal Semarak Pertiwi

TEATER: SEMARAK PERTIWIKU

Pelakon yang meningkat naik nama beliau dikalangan penonton drama iaitu Ungku Ismail telah menggalas watak utama dalam Teater Semarak Pertiwiku. Manakala Sherie Merlis digandingkan dengan Ungku Ismail telah berjaya menghidupkan Teater ini. Anding Indrawani, Chopie Chakap, Shah Kimin, Elya dan Taufik Hanafi pula antara barisan pelakon teater yang didokong penuh oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Istana Budaya serta Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Inilah sumbangan SPRM kepada rakyat Malaysia yang cintakan kehidupan yang bersih dan bebas rasuah. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Yang Berusaha Puan Latheefa Koya cukup teruja mengumumkan teater yang mendapat sambutan hangat saat dipentaskan di Kuching, Sarawak pada Julai 2019 lalu dan kini akan dipentaskan di Kuala Lumpur pada 30 Januari (3 petang) dan 31 Januari (3 petang dan 8.30 malam). Semarak PertiwiKu adalah didalam dialek Melayu Sarawak ini mengangkat budaya integriti dalam pekerjaan dan kehidupan.

Semarak PertiwiKu mengisahkan kerakusan sebahagian kontraktor mengejar habuan untuk mengumpul kekayaan dan kerana itu tercetus skandal rasuah di sebalik rahsia perolehan sebuah projek mega.

Disutradarai oleh Muhammad Azri Ali, bersama Pengarah Projek, Abdul Walid Ali, Pengarah Artistik, Muhammad Qawiem Bin Hamizan dan Pengarah Muzik, Iran Musodiq, persembahan teater ini juga menggunakan khidmat pelakon berkaliber dalam menyampaikan mesej penting yang cuba disalurkan dalam medium hiburan.

“Semarak Pertiwiku selaras dengan hasrat kerajaan untuk membanteras gelaja rasuah. Ia juga adalah sebuah teater yang bertemakan integriti dan sebuah usaha cukup baik untuk mendidik masyarakat tentang rasuah khususnya dalam kalangan penjawat awam,” kata pengarahnya, Muhammad Azri Ali.

Sinopsis:
Semarak Pertiwiku mengisahkan kepincangan hidup seorang usahawan binaan kelahiran Sarawak iaitu Dato’ Shah kerana terlalu mengikut desakan isterinya yang mendambakan kemewahan sehingga mendorong dirinya melakukan jenayah rasuah menerusi pemberian tender projek pembinaan bangunan tertinggi di bumi kenyalang, Menara Pertiwi.

Projek pembinaan menara tersebut telah diberikan kepada Syarikat Tulus Bina walaupun berdasarkan kelayakan, terdapat syarikat pembinaan lain yang layak menerima pelantikan tersebut.

Namun, satu persatu rahsia disebalik tindakan Dato’ Shah yang bercanggah dengan integriti dan amalan baik sehingga tercipta skandal membabitkan penipuan, penindasan, manipulasi, penerimaan rasuah, tuntutan palsu dan nepotisme akhirnya terbongkar.

Akibat daripada kerakusan tersebut, pembinaan Menara Pertiwi berakhir dengan insiden luar jangka sehingga mengakibatkan tragedi kepada orang ramai.

Harapan masyarakat di Bumi Kenyalang untuk melihat menara tersebut juga musnah apabila ia roboh lantas menamatkan skandal rasuah yang ada disebalik pembinaannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *