Berikut soal jawab dikongsikan Femina dan dijawab oleh pakar tentang permasalahan menjurus isu berkenaan.
SOALAN
SAYA, Siti Aisyah berusia 31 tahun tinggal bersama keluarga kakak di Selayang, Selangor. Kakak saya berusia 39 tahun dan sebelum ini dia berstatus ibu tunggal. Dia juga mempunyai anak berusia empat tahun. Beberapa bulan lalu, dia baru bernikah dengan suami baharu. Ketika ketiadaan kakak di rumah, anaknya setiap masa menangis akibat dipukul oleh abang ipar. Pada awalnya saya anggap ia perkara biasa, namun selepas beberapa bulan saya dapati tindakan abang ipar itu melampau. Saya sudah maklumkan perihal perkara itu kepada kakak, namun dia tidak memberikan sebarang maklum balas. Saya tidak sanggup lagi menyaksikan perbuatan itu. Jadi, apa yang harus saya lakukan?
JAWAPAN:
ISU penderaan kanak-kanak sudah bertahun-tahun berlaku. Teknologi telefon pintar yang semakin berkembang maju memudahkan kes penderaan kanak-kanak tular sama ada hasil rakaman pelaku, saksi kejadian atau melalui rakaman televisyen litar tertutup. Perlakuan agresif terhadap kanak-kanak mudah mengundang rasa simpati kepada masyarakat. Tidak kira sama ada penderaan fizikal ataupun mental.
Walaupun banyak kes penderaan kanak-kanak telah dilaporkan, hakikatnya masih ada kanak-kanak di luar sana yang terseksa akibat penderaan dari segi fizikal, emosi dan mental. Satu perkara yang mengundang persoalan apabila penderaan tersebut dilakukan oleh orang terdekat.
Kenapa orang di sekelilingnya tidak mengambil tindakan? Antara faktor yang menyebabkan kes penderaan tidak dilaporkan ialah terlalu takut untuk mendedahkan apa yang dilaluinya. Mereka bimbang aduan tidak dipercayai dan akan menerima akibat yang lebih teruk.
Bagi penderaan yang dilakukan mereka yang terdekat pula, saksi tidak mahu melaporkan kes itu kerana tidak berani mengambil risiko, tidak mahu melibatkan diri dengan proses undang-undang termasuk tidak mahu terjejas apabila kisah penderaan terbongkar.
Dalam menjawab persoalan yang dilontarkan, saya nasihatkan Siti Aisyah agar memberitahu kakak supaya tidak membiarkan penderaan berterusan berlaku kepada anak kandungnya. Jika kakaknya enggan, Siti Aisyah kena berani untuk tampil ke hadapan dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa atau melaporkan kes itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), guru sekolah atau kaunselor sekolah.
Prosedur selanjutnya akan diberi perhatian oleh pihak JKM dengan berpandukan Akta Kanak-Kanak 2001 yang memberi perlindungan kepada kanak-kanak yang didera. Jika beliau selaku saksi kejadian mendiamkan diri, saya yakin perasan bersalah akan terus bersarang dalam dirinya.
Jangan sampai perlakuan agresif oleh abang ipar itu meragut nyawa kanak-kanak berkenaan. Pilihan untuk menegakkan kebenaran sentiasa ada. Harus ingat bahawa kesan penderaan terhadap kanak-kanak tidak hanya sekadar dilihat dengan mata kasar, ia memberi kesan kepada mental dan emosi sekali gus mempengaruhi proses tumbesaran mereka.
Mengikut kajian di luar negara, kesannya akan berlarutan sehingga kanak-kanak tersebut dewasa. Satu penyelidikan lagi menyebut, orang dewasa yang menempuh fasa membesar yang teruk terdedah kepada gejala kemurungan, kebimbangan dan kecenderungan untuk membunuh diri.
Justeru itu, mangsa harus diselamatkan dan dia perlu diberikan rawatan intervensi kesihatan secara fisiologikal dan psikologi. Contoh rawatan intervensi psikologi yang dijalankan oleh kaunselor termasuklah terapi ekspresif yang menggunakan medium permainan, lukisan, muzik dan bahan kreatif.
Kaedah ini digunakan untuk membantu meneroka perasaan dan meredakan kesan negatif akibat penderaan seperti ketakutan, rasa bersalah, hilang kepercayaan kepada orang lain dan menangani isu keyakinan diri. Kesan penderaan adalah sangat serius dan jika tidak dirawat, ianya akan berlanjutan hingga ke generasi selanjutnya.
Kitaran penderaan boleh berlaku kepada anak yang mana bapa atau ibunya pernah menjadi mangsa dera.Kamariah Derasol Merupakan Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.
Pegawai Psikologi Kanan,
Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang,
Kamariah Derasol