Taiwan Expo 2019: Platform ketengahkan produk halal

PENGUNJUNG Taiwan Expo 2019 berpeluang merasai teh gelembung Taiwan (buble tea) halal yang mana produk itu merupakan salah satu daripada lima produk halal dari negara tersebut.

Teh gelembung Taiwan dibuat dengan ramuan halal menjadikannya minuman yang sesuai untuk pengguna Muslim di Malaysia dan negara Islam lain.

Ekspo yang berlangsung dua hari itu menampilkan pelbagai produk halal dari Taiwan di Taiwan Halal dan Bubble Tea Pavilion antaranya makanan, minuman, produk kecantikan dan pertanian.

Produk Halal Taiwan diiktiraf di pasaran antarabangsa kerana pengeluaran yang berkualiti tinggi dan pembungkusan menarik.

Ia ditubuhkan Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan di bawah bimbingan Biro Perdagangan Luar Negeri yang mana, menerusi Taiwan Expo 2019, ia bekerjasama dengan pasar raya besar Mydin dalam menampilkan beratus produk halal Taiwan.

Pelbagai syarikat-syarikat yang mengambil bahagian pada ekspo yang julung kali diadakan di Pulau Pinang, antaranya adalah Shih Chen Foods, Yilan Anyong Lohas, FuFann Enterprise, Kuojer Enterprise, Yung Soon Lih dan Food Machine.

Antara yang ditampilkan oleh syarikat-syarikat tersebut adalah teh susu segera; intipasti ikan premium, kerisik, bahan mentah teh gelembung, periuk teh gelembung pelbagai fungsi dan sebagainya.

Kesemua produk tersebut dikongsi bersama pengunjung dalam Sesi Perkongsian Produk Halal dan Teh Gelembung Taiwan selain beberapa aktiviti menarik seperti demo masakan turut diadakan.

Mina Kuan menunjukkan salah satu produk keluaran FuFann Enterprise iaitu pes majerin ketika menyertai Taiwan Expo 2019.

Mina Kuan menunjukkan salah satu produk keluaran FuFann Enterprise iaitu pes majerin ketika menyertai Taiwan Expo 2019.

Menurut Global Muslim Travel Index (GMTI), Taiwan mencapai kedudukan kelima terbaik destinasi pelancong Muslim di bawah kategori bukan kerjasama organisasi Islam (non-OIC) pada tahun lalu.

Dalam laporan GMTI pada April lalu, Taiwan berada di tangga ketiga yang turut dikongsi bersama United Kingdom dan Jepun dalam kategori yang sama.

Dengan laporan tersebut, ia bermakna usaha gigih Taiwan dalam menarik pelancong Muslim antaranya menyediakan bilik solat di beberapa hub pengangkutan dan pelancongan di beberapa tempat seperti Lapangan Terbang Taoyuan dan Stesen Kaohsiung membuahkan hasil.

Selain itu, Taiwan juga menyediakan pelbagai jadual pelancongan mesra Muslim dan memenuhi keperluan pemakanan serta sembahyang untuk melancarkan perjalanan mereka di Taiwan.

Taiwan mempunyai lebih 1,000 pengilang dan kedai makan yang disahkan halal berbanding 500 masing-masing di Korea dan Jepun yang mana, Taiwan mensasarkan Malaysia sebagai pasaran produk halal berikutan negara ini mempunyai lebih 20 juta rakyat Muslim.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Pasaran FuFann Enterprise, Mina Kuan berkata, syarikat tersebut yang ditubuhkan pada 1989 di selatan Taiwan, Tainan yang menampilkan pelbagai jenis pes antaranya coklat, bijan, majerin, santan, mentega kacang dan pelbagai produk makanan berasaskan tenusu serta coklat.

Menurutnya, sehingga kini, syarikat tersebut telah memasarkan pelbagai produk halalnya ke negara luar antaranya Malaysia, Singapura, Chile, Japan, Korea, Amerika Syarikat dan China sejak lima tahun lalu.

“Kita mempunyai sijil halal dalam setiap produk yang dipasarkan namun cabaran paling hebat adalah memperkenalkan produk halal Taiwan di negara luar. Oleh itu, pasukan promosi kami perlu bekerja lebih kuat untuk mempromosi selain menerangkan perbezaan produk kami dengan produk halal yang sedia ada.

“Setakat ini, penerimaan dari pelanggan amat positif. Bagaimanapun, kami masih bekerja keras dalam mempromosikan produk ini ke negara lain yang belum kami masuki pasarannya,” katanya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *