KUALA LUMPUR – Tampuk pimpinan pengurusan Inix Technology Berhad diserahkan kepada taikun Macau, Wan Kuok Koi sebagai Pengerusi yang baharu.
Sementara dua wakil tempatan, Datuk Tan Choon Hwa dan Lee Han Keat, kedua-duanya ahli perniagaan yang terkemuka dan berpengaruh di dalam dunia korporat Malaysia, masing-masing sebagai Naib Pengerusi dan Pengarah Eksekutif.
Kemasukan Kuok Koi ke dalam syarikat itu adalah untuk melaksanakan perniagaan sarung tangan getahnya di Malaysia, pada masa yang sama membantu memerangi pandemik koronavirus (Covid-19) di seluruh dunia.
Inix Technology dalam satu kenyatan media hari ini berkata, pelantikan ketiga-tiga individu berpengaruh ini diyakini mampu membawa perubahan dan meningkatkan prospek perniagaan syarikat dalam tempoh terdekat.
Choon Hwa berkata, Jumaat lalu, syarikatnya mengeluarkan kenyaaan menerusi Bursa Malaysia mengumumkan pelantikan Kuok Koi sebagai pengerusi baharu sementara beliau sendiri sebagai Naib Pengerusi dan Han Keat sebagai Pengarah Eksekutif.
“Pada hari yang sama, saya memperoleh 13.03 juta saham manakala Lee sebanyak 16.2 juta saham Inix,” kata beliau.
Sementara itu Han Keat berkata, mereka sangat optimistik kerjasama tiga pihak ini akan membawa Inix Technology ke tahap lebih baik dan seterusnya, mencipta nilai untuk pemegang saham Inix.
Kuok Koi adalah seorang taikun Hong Kong dan Macau yang terkemuka, turut dikenali dikenali sebagai “Broken tooth” (Gigi Patah) dalam kalangan korporat di Asia Tenggara.
Menurut laporan South China Morning Post pada 17 Julai 2018, ketika tawaran kripto permulaan (ICO) berkait dengan Kuok Koi diterbitkan di Asia Tenggara, ia mencatat sejarah apabila menjana AS$750 juta (RM3.139 bilion) dalam masa lima minit.
Ia jelas menunjukkan Kuok Koi memiliki pengaruh besar dalam dunia perniagaan dan pelan yang dilaksanakannya mendapat sokongan pelabur.
Kuok Koi terbabit dalam perniagaan berkaitan hiburan di Macau termasuk memiliki Macau National Ying VIP Club dan National Ying Entertainment Co Ltd.
Dalam masa sama, beliau turut terbabit dengan aktiviti amal di Macau termasuk menubuhkan Yayasan Amal Budaya Zhi Gong dan berkhidmat sebagai pengerusi pengasas.
Kuok Koi juga adalah Presiden Persatuan Sejarah dan Budaya Dunia Hongmen.
Di Malaysia, beliau juga tidak asing kerana memegang hawatan Presiden Pengasas Dewan Perniagaan Ekonomi dan Budaya Macau-Malaysia di samping memiliki memiliki hubungan ekonomi dan perdagangan bersama Malaysia.