Survival kanak-kanak penghidap kanser

BAYANGKAN, kita sendiri tidak sanggup jika melihat orang dewasa merintih akibat kesakitan. Apatah lagi kalau melibatkan seorang kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa.

Berdasarkan kenyataan seorang pakar pediatrik, kanser dalam kalangan si cilik dikategorikan antara 10 penyakit pembunuh dengan 100 daripada sejuta kanak-kanak di bawah umur 15 tahun menghidapnya.

Apakah rawatan yang berpotensi untuk mengubati penyakit ini yang harus diketahui oleh ibu bapa dan masyarakat umum?

Adakah kanser yang dihidapi kanak-kanak boleh sembuh atau sebaliknya? Ikuti kupasan Sihat:Aktif pada minggu ini.

SEJAK cahaya matanya dilahirkan dan dikenal pasti sebagai anak sindrom down, naluri keibuannya berasakan ada sesuatu yang tidak kena lagi.

Bayi baru dilahirkan itu juga sering demam. Hamidah Tajudin kemudian menjalani ujian darah seperti yang disarankan. Dan ya, keputusannya positif!

“Nak sebut perkataan kanser pun rasa gerun…tapi itulah yang keluar dari mulut doktor. Kami macam tak percaya, sangat kecewa.

“Anak saya terkena leukemia! Pernah saya menafikan pada diri sendiri bahawa anak saya bukan sakit kanser tapi apakan daya, kita mahu dalih macam mana sekalipun, itulah hakikat yang perlu diterima,” luahnya dengan nada penuh sayu.

Hamidah bersama arwah anak tersayang, Allahyarham Syukur.

Hamidah bersama arwah anak tersayang, Allahyarham Syukur.

Ujar Hamidah, perasaannya melayang bagai sedang dibuai ombak dan dirinya seakan-akan tidak berpijak di bumi nyata.

Wanita kental ini cuba menjadi positif. Namun hakikat, beliau memang tidak kuat. Air matalah jadi peneman mereka sekeluarga sepanjang melihat derita yang direntas si anak, Mohd Syukur Syukri atau Syukur.

Kata Hamidah, hati ibu mana yang tidak berkecamuk apabila melihat sendiri Syukri berdepan kesan sampingan kemoterapi.

“Rambutnya menjadi botak, muntah-muntah, ulser mulut berdarah hingga sering loya dan tidak bermaya,” ujarnya dengan mata yang berkaca.

Sebenarnya, sebelum ini, penulis sempat bertemu Syukur ketika menemubual Hamidah yang juga Pengerusi Kumpulan Ibubapa Dan Sokongan Anak-Anak Kanser pada Mac tahun lalu.

Ketika itu, Syukri seorang yang bijak berkomunikasi dan nampak sihat. Kata-kata dan sifat manja Syukri sehingga kini masih terngiang-ngiang di benak penulis. Penulis masih teringat kata-kata yang terpacul dari mulut anak syurga ini: “Don’t cry mommy, I’m strong.” Syukri acapkali mengucapkan kata-kata itu di depan penulis seraya beliau mencium pipi Hamidah.

Namun siapa sangka, setelah berjuang lebih 13 tahun menentang kanser, kanak-kanak ini meninggalkan dunia yang fana ini. Allahyarham Syukur yang dilahirkan pada 11 November 2012, akhirnya dijemput ILAHI pada hujung November tahun lalu.

Perubahan genetik

Pengerusi Persatuan Sokongan Kanser Kanak-Kanak Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (Cakne), Nor Hashimah Sulaiman juga ada cerita tersendiri.

“Anak saya menghidap kanser otak medulablastoma tahap 4 semasa si kecil itu berusia 9 tahun dan kini Nurul Islah Mohd Shah sudah berusia 21 tahun. Setakat ini, dia sihat walaupun telah menjadi OKU (masalah keseimbangan badan semasa berjalan),” katanya.

Anak Hashimah, Nurul Islah Mohd Shah menghidap kanser otak medulablastoma tahap 4 semasa berumur 9 tahun dan sekarang berusia 21 tahun. Setakat ini sihat walaupun telah menjadi OKU (masalah keseimbangan badan semasa berjalan).

Anak Hashimah, Nurul Islah Mohd Shah menghidap kanser otak medulablastoma tahap 4 semasa berumur 9 tahun dan sekarang berusia 21 tahun. Setakat ini sihat walaupun telah menjadi OKU (masalah keseimbangan badan semasa berjalan).

Ujar Nor Hashimah, kanak-kanak kanser perlu diberi sokongan dari aspek moral dan Cakne sedia memainkan peranan.

Hashimah (kanan) semasa program Cakne.

Hashimah (kanan) semasa program Cakne.

Cakne antara lain berfungsi membantu, meningkatkan pengetahuan dan kesedaran pesakit kanser kanak-kanak dan ahli keluarga mereka tentang penyakit yang dihadapi serta kaedah rawatan dan penjagaan.

“Kami percaya, dengan sokongan malah semangat pesakit sendiri, terbukti mereka boleh menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal lain, malah ada mampu sembuh,” katanya.

Untuk mengulas lanjut mengenai fenomena kanser kanak-kanak, Sihat:Aktif mendapatkan Pakar Perunding Pediatrik Onkologi dan Hematologi, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak, Dr Aisyah Muhammad Rivai.

Dr Aisyah

Dr Aisyah

Menurut Aisyah, kanser boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak walaupun kekerapannya kurang berbanding orang dewasa.

Menurut data penyelidikan daripada Kanser Kanak-kanak Kebangsaan Malaysia, kanser biasanya dihidapi oleh kanak-kanak berumur kurang dari 15 tahun ialah leukemia akut.

“Ia diikuti oleh ketumbuhan otak dan saraf tunjang, kanser kelenjar atau limfoma dan seterusnya ketumbuhan organ seperti kanser tulang, neuroblastoma, kanser buah pinggang, ketumbuhan gonad dan sel germa, sarkoma tisu lembut dan retinoblastoma,” katanya.

Bukan sebab keturunan

Terang Aisyah, kanser yang berkembang kalangan kanak-kanak selalunya terhasil daripada perubahan genetik (DNA di dalam sel) yang boleh berlaku sangat awal dalam kehidupan, malah kadang-kadang sebelum kelahiran.

Bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, tiada satu penyebab diketahui menjadi punca perubahan genetik ini.

Menurut Aisyah lagi, tidak seperti kanser orang dewasa, kanser kanak-kanak jarang dikaitkan dengan faktor risiko gaya hidup atau alam persekitaran.

“Namun, bagi sesetengah kanak-kanak lahir dengan sindrom tertentu seperti sindrom down, risiko lebih tinggi untuk mendapat kanser,” ujarnya.

Aisyah menambah, faktor keturunan tidak memainkan peranan penting terhadap kanser kanak-kanak kerana kebanyakan kes tidak terdapat sejarah keluarga yang positif.

Namun, ada sesuatu yang pembaca perlu tahu. Trend bilangan kes kanser dalam kalangan kanak-kanak pada hari ini juga semakin meningkat berbanding pada era 1980-an!

“Bagaimanapun, perlu ditekankan di sini bahawa kanser kanak-kanak mempunyai kecenderungan bertindak balas lebih baik terhadap rawatan dan berpotensi pulih sepenuhnya,” katanya.

Perbezaan rawatan

Bagaimana pula dengan rawatan kanser untuk kanak-kanak? Sama seperti orang dewasa? Pakar Hematologi Pediatrik dan Onkologi, Dr Eni Juraida Abdul Rahman pula berkata, diagnosis dan rawatan semua jenis kanser pediatrik di bawah skop pakar onkologi pediatrik.

Dr Eni

Dr Eni

“Ini berbeza berbanding orang dewasa yang mana limfoma/leukemia dirawat oleh pakar hematologi. Kemaglinanan lain mungkin dirawat oleh pakar onkologi perubatan, radio onkologi atau pelbagai sub pakar lain seperti onkologi pembedahan, onkologi ginekologi atau onkologi orto,” katanya.

Ditanya kesan rawatan kanser terhadap pembesaran dan pertumbuhan kanak-kanak, ini jelas Eni Juraida: “Ya, sudah tentu, semua jenis perubatan mempunyai kesan sampingan. Sebelum memulakan terapi, ibu bapa diberi nasihat tentang potensi kesan sampingan ubat-ubatan yang akan diterima oleh anak. Sama ada kesan ini akan muncul pada anak atau tidak.

“Sekiranya ada, sejauh mana kesan dihadapi bergantung kepada tindak balas tubuh mereka. Tidak balas individu terhadap ubat yang sama mungkin berbeza.”

Mengulas lanjut, beliau berkata, meskipun kemoterapi menyasarkan pada tumor, akan ada sedikit kesan pada tisu normal seperti jantung, paru-paru, buah pinggang. Sesetengah ubat juga mempunyai kesan ke atas otak dan sistem saraf.

Lazimnya ujar Eni Juraida, beberapa ubat boleh menjejaskan kesuburan kanak-kanak lelaki.

Ada potensi pulih? Jelasnya, selepas kanak-kanak melengkapkan rawatan dan kekal bebas daripada kanser, mereka boleh dianggap sudah sembuh.

“Namun rawatan susulan bagi pesakit ini adalah sepanjang hayat. Pada peringat awal, proses susulan adalah untuk mengawasi kemungkinan penyakit berulang atau relaps,” katanya yang mahu ibu bapa menerima ketentuan sekiranya anak mereka dihidapi kanser.

Kisah inspirasi

Eni Juraida bercerita tentang pengalamannya. Ujar beliau, dalam satu kes dikendalikannya, seorang budak perempuan berusia lapan tahun yang didiagnosis dengan leukemia myeloid akut menjalani kemoterapi dan turut melakukan pemindahan tulang sum-sum daripada adik-beradiknya yang sepadan.

“Dia berjaya pulih dan bebas daripada penyakit. Saya fikir pengalamannya dalam wad onkologi serta unit pemindahan sumsum tulang mencetuskan minatnya untuk membantu orang lain.

“Kemudian, si pesakit ini tadi memilih kejururawatan sebagai kerjaya. Apa mengagumkan, gadis itu kini sudah berusia 20-an bekerja sebagai jururawat di pusat tempat dia menjalani pemindahan tulang sum-sum,” katanya.

Justeru, pakar perubatan ini merumuskan, dengan keiizinan Yang Maha Esa, kanser kanak-kanak selalunya berakhir dengan pemulihan.

Ia ditambah dengan bukti apabila statistik leukemia limfoblastik akut di Eropah dan Amerika Syarikat menunjukkan pesakit dengan risiko standard, kadar pulih adalah setinggi 90 peratus.

“Tumor Wilm iaitu sejenis tumor buah pinggang yang paling biasa pada kanak-kanak, penyakit pada Tahap 1 mempunyai kadar pulih sebanyak 90 peratus, malah pada tahap 4, kadarnya masih 60-70 peratus boleh diselamatkan.

Kata Eni Juraida lagi, rawatan kanser adalah kompleks dan panjang.

Justeru, ibu bapa dan keluarga perlu berkorban secara emosi, kewangan dan psikologi.

“Ganjaran pada penghujungnya, Insya-Allah sangatlah berbaloi,” katanya.

Kepada soalan satu soalan tentang wanita mengandung yang menghidap kanser, beliau menjawab: “Tiada nasihat khusus saya boleh berikan untuk menjamin anak yang dikandung tidak akan mendapat kanser.

“Jadi saya cuma menasihatkan supaya mereka sentiasa mengekalkan gaya hidup yang sihat.”

Belum ada bukti kukuh penyebab leukemia -Pakar

BELUM ada bukti kukuh untuk mengetahui penyebab leukemia.

Pakar Hematologi Jabatan Patologi UKMMC, Prof Madya Dr Nurasyikin Yusof berkata, pakar-pakar kanser masih meneruskan kajian intensif tentang ini.

“Artikel terkini ditulis oleh pakar leukemia di UK, teori kaitan faktor mutasi semasa dalam kandungan dan semasa hayat kanak-kanak ditambah dengan faktor persekitaran yang melibatkan perubahan sistem imun tidak stabil. Faktor-faktor itu berupaya membuatkan seorang kanak-kanak itu menghidapi kanser darah.

“Kanser (darah) berlaku di mana sel-sel darah putih membiak dengan tidak terkawal dan menjadi banyak di dalam sum-sum tulang dan darah periferi. Bagaimanapun, belum ada lagi bukti kukuh untuk mengesahkan teori ini dan masih dalam fasa kajian,” katanya sambil memberitahu anaknya juga menghidapi kanser acute lymphoblastic leukemia (ALL).

Dr Nurasyikin bersama anaknya yang juga menghidap kanser, Johan Aiman.

Dr Nurasyikin bersama anaknya yang juga menghidap kanser, Johan Aiman.

Berdasarkan rekod, kanak-kanak lazimnya paling banyak menghidap ALL. Namun, menurut Nurasyikin, kanser jenis ALL adalah kanser yang boleh dirawat.

Katanya, setakat ini di Malaysia kadar kesembuhan dari penyakit itu adalah 85 peratus dan meningkat dengan rawatan moden.

“Bagi jenis kanser darah yang lain seperti AML (acute myeloid leukaemia), masih ada peluang sembuh sungguhpun kadar kesembuhan adalah rendah berbanding ALL.

“Tidak semuanya akan berakhir dengan kematian seperti difikirkan oleh masyarakat umum,” katanya yang tidak menafikan terdapat kanak-kanak yang berumur seawal bayi lagi yang menghidap kanser.”

Perkongsian daripada Pakar Perunding Pediatrik Onkologi dan Hematologi, Dr Aisyah Muhammad Rivai:

Tanda-tanda awal kanser kanak-kanak adalah bergantung jenis kanser

Kanser lazim – leukemia akut:

– Kekurangan fungsi sel darah seperti demam berpanjangan, pucat dan tidak bermaya. – Berlaku pendarahan seperti lebam dan berdarah hidung atau gusi. Kanser limfoma: – Kemunculan bengkak atau benjol luar biasa pada tengkuk, tangan dan kaki yang tidak berkaitan dengan trauma dan saiznya semakin membesar. – Kanser boleh melibatkan mana-mana organ. Pemeriksaan fizikal dan beberapa ujian klinikal akan dijalankan untuk mengesahkan kanser dan tahapnya.

Rawatan kanser kanak-kanak:

Satu atau beberapa kaedah secara bersepadu. a) Pembedahan: Rawatan atau kaedah tambahan sebelum atau selepas pembedahan sekiranya perlu termasuklah kemoterapi iaitu menggunakan ubat-ubat kimia yang kuat untuk membunuh sel-sel kanser. b) Ubat: Melalui beberapa cara iaitu mulut (makan), aliran intravena, suntikan intramuskular (otot), suntikan subkutikal (bawah kulit) dan suntikan intratekal (suntikan terus ke cecair spinal otak). c) Radioterapi: Menggunakan radiasi atau sinaran X.

Kesan sampingan ubat kemoterapi:-

Jangka pendek dan panjang seperti loya dan muntah, keguguran rambut, letih, pucat, pendarahan yang luar biasa. Pesakit juga berisiko terkena jangkitan kuman yang serius akibat penurunan daya tahan badan untuk melawan jangkitan.

Berikut ialah nasihat Pakar Hematologi, Dr Nurasyikin Yusof:

– Penyakit leukemia boleh sembuh melalui rawatan kemoterapi.

– Ibu bapa haruslah mengikut jadual rawatan anak-anak dengan teliti. – Jadual do’s and don’ts untuk pemakanan yang ketat dan elak mengambil makanan boleh memudaratkan pesakit. – Doa yang tidak putus-putus kepada ALLAH supaya diberi kesembuhan dan amalan air zamzam amat digalakkan. – Jangan putus asa dan berusaha sedaya upaya demi anak dan perlu banyak bersabar. AG

***Artikel sempena Hari Kanser Sedunia



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *