Surah al-Isra kupas sikap kerosakan manusia di masa hadapan

Surah al-Isra kupas sikap kerosakan manusia di masa hadapan

SEPANG – Surah al-Isra mengupas sikap kerosakan yang dibawa oleh manusia di masa hadapan menjadi antara intipati perbincangan sempena World #QuranConvention.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Amanie Group, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, kerosakan yang dimaksudkan itu termasuk masalah rasuah, pencemaran alam sekitar dan juga krisis ekonomi semasa.

Menurutnya, ia berlaku disebabkan oleh sifat manusia itu sendiri yang cenderung melakukan kemudaratan dari aspek sosial dan politik.

“Kita perlu menyedarkan manusia bahawa bukan material yang menjadi kayu pengukur kerosakan atas muka bumi ini.

“Sikap jahat, ego, sombong dan bongkak antara perkara yang disebut sebagai kerosakan yang akan berlaku.

“ALLAH memberikan peluang kepada semua orang untuk melakukan kebaikan di atas dunia.

“Tetapi ALLAH juga memberitahu dengan bahasa yang tegas sifat manusia yang mudah melakukan kerosakan di atas muka bumi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam diskusi bertajuk ‘Studying the Quran: Yesterday, today and tomorrow’ yang dihoskan oleh Sharif Hasan al-Banna di Pusat Konvensyen KLIA di sini pada Sabtu.

Panelis lain ialah Doktor Falsafah pusat Pengajian Islam-Kristian Universiti Oxford, Saqib Hussain; Pengasas Pusat Ibn Ashur, Dr Sohaib Saeed dan Pengarah World #QuranConvention, Nouman Ali Khan.

Dalam pada itu, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli ke konvensyen sehari anjuran Yayasan Warisan Ummah (WUIF) dan Bayyinah Institute itu.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

World #QuranConvention (WQC) bertemakan ‘Serve To Be Served: A Divine Guidance From Surah Al-Insan’ merupakan sebuah program berasaskan al-Quran bertaraf antarabangsa buat julung kali diadakan.

Penyertaan melibatkan peserta dari Australia, Belgium, Brunei, Kanada, Jerman, Perancis, Indonesia, India, Mesir, Indonesia, Singapura, Filipina, Amerika Syarikat, Uzbekistan, Nigeria dan Palestin.

Sumber