Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Avisena, Dr Razman Abd Karim berkata, dalam keadaan krisis ketika ini, aspek kekuatan spritual juga sangat penting selain kekuatan fizikal.
“Sebab itu kami sangat berbesar hati menerima sumbangan sebanyak 200 naskhah al-Quran dari orang ramai yang mewakafkannya melalui Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) di bawah Program Wakaf Quran Mu’jam.
“Usaha sebegini dapat kuatkan lagi semangat pesakit dan kakitangan kami yang turut melakukan ujian saringan Covid-19,” katanya selepas menerima sumbangan itu di lobi hospital berkenaan di sini hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Avisena, Dr Razman Abd Karim (lima dari kiri) menerima sumbangan al-Quran dari Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Hashim Anang (empat dari kanan ). – Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Avisena terbahagi kepada dua iaitu hospital induk dan sebuah lagi hospital khusus untuk wanita dan kanak-kanak dengan keseluruhan kakitangan yang dimiliki berjumlah 1,000 orang.
Menurut Dr Razman, al-Quran itu akan ditempatkan di wad-wad pesakit dan di kawasan menunggu pesakit agar ia dapat digunakan sepenuhnya oleh pesakit dan juga kakitangan hospital berkenaan.
Sebanyak 440 naskhah al-Quran wakaf diagihkan kepada empat buah hospital hari ini membabitkan Hospital Pakar KPJ Damansara, Hospital Columbia Asia dan Pusat Perubatan Pakar Sri Kota selain Hospital Pakar Avisena.
Sebanyak 43 naskhah al-Quran infak turut diagihkan kepada pasukan Selangor Task Force Covid-19 yang melakukan ujian saringan wabak itu kepada orang awam di Dewan Raja Muda Musa sejak Jumaat lalu yang sehingga kini telah melakukan hampir 600 saringan.
Wakilnya, Dr Mukhriz Abdullah berkata, pemberian al-Quran infak itu umpama hadiah menyambut Ramadan kepadanya dan kesemua petugas barisan hadapan di kawasan itu yang boleh mereka baca pada bila-bila masa terutama ketika bulan puasa.
“Macam saya sendiri, al-Quran saya dah lama tak bertukar jadi saya tak perlu beli al-Quran baharu apatah lagi pada waktu sekarang tugas kami agak sibuk.
“Pada satu-satu masa seramai lima doktor yang dibantu jururawat akan bertugas di sini dan majoriti mereka adalah petugas bebas (freelance),” katanya.
Tambahnya, kebanyakan orang awam yang melakukan saringan di tempat itu adalah penghantar makanan dari Food Panda dan Grab Food kerana mereka terdedah Covid-19 ketika melakukan kerja.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, jumlah al-Quran wakaf yang telah diagihkan dan yang sedang diagihkan ketika ini berjumlah 31,230 naskhah di bawah Program Wakaf Quran fasa satu.
“Bagi al-Quran infak pula sehingga kini sebanyak 1,800 daripada 2,5000 naskhah sudah diedarkan dan 700 bakinya sedang dalam agihan lagi,” katanya.
Katanya, bagi Program Wakaf Quran fasa kedua pula, pihaknya berjaya mengumpul sebanyak 21,622 al-Quran sehingga jam 9 malam tadi.