Sufian Suhaimi dan Inteam Bermunajat dalam Damba Kasih 2022

Kedatangan Ramadan bulan penuh barakah kali ini tidak dibiarkan tergantung sepi oleh artis ternama tanahair Sufian Suhaimi apabila menerima tawaran berkolaborasi dengan artis nasyid terkenal Inteam dalam single terbaru mereka berjudul Damba Kasih 2022.

Sufian Suhaimi bersama Inteam

Dalam single terbaru yang merupakan ‘remake’ daripada lagu asal Inteam yang pernah diterbitkan pada tahun 2003 ini, Sufian dan Inteam ingin mengajak peminat bermunajat dan bermuhasabah mendekatkan diri kepada Allah sempena kedatangan bulan keampunan ini.

“Walaupun lagu ini adalah lagu lama yang diberi nafas baru, pendekatan dari segi susunan muzik dan cara nyanyian agak berbeza daripada lagu asal, namun lirik taubat dan ketuhanannya tetap dikekalkan” menurut Sufian Suhaimi.

“Alhamdulillah, walaupun kita masih di dalam suasana pandemik dan pergerakan yang agak terbatas, namun kami bersyukur dan berterima kasih kepada Sufian Suhaimi dan syarikat rakaman beliau yang bersetuju untuk menjayakan kolaborasi ini selepas sebelum ini kami berjaya merakamkan single kolaborasi dengan artis terkenal seperti Khai Bahar, Sam Bunkface dan Aliff Satar” Ulas Syahril selaku ketua kumpulan Inteam.

Hazamin inteam sangat berpuas hati berkolaborasi bersama Sufian Suhaimi kerana Kerjasama yang diberikan semasa rakaman sangat baik dan beliau memberikan nafas yang baru dan penghayatan yang sangat mendalam untuk lagu Damba Kasih versi 2022 ini.

“Alhamdulillah, saya memang meminati lagu-lagu nasyid dan pernah menyanyikan lagu-lagu nasyid termasuk lagu-lagu dari kumpulan Inteam, jadi apabila ditawarkan bekerjasama dengan abang-abang Inteam, saya terus menerimanya dengan berbesar hati” tambah Sufian lagi.

Lagu Damba Kasih kini boleh ditonton dan didengar di platform-platform digital utama seperti rangkaian Youtube Inteam Digital, Spotify, Deezer, KKbox, Joox, Apple Music dan lain-lain lagi.