Jakarta, 08 Mei 2026 – Siti Badriah kembali mengukuhkan eksistensinya sebagai salah satu diva dangdut terkemuka dengan pelancaran single terbaharu berjudul “Bikin Candu” yang dijadualkan keluar pada 8 Mei 2026 di bawah label Nagaswara. Kemunculan single ini turut menandakan detik comeback yang dinanti-nantikan peminat selepas beliau berehat seketika daripada industri muzik susulan fasa kehidupan peribadi selepas kelahiran anak keduanya.

Dikenali dengan identiti vokal yang kuat dan keupayaan mencipta lagu-lagu hit, Siti Badriah atau Sibad terus membuktikan konsistensinya dalam membawa muzik dangdut ke tahap yang lebih moden dan mudah diterima pelbagai generasi. Sebelum ini, beliau mencipta fenomena menerusi lagu mega-hit “Lagi Syantik” yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara artis dangdut paling berpengaruh di rantau ini.

Melalui “Bikin Candu”, Sibad tampil dengan pendekatan muzik yang lebih segar menerusi gabungan dangdut elektronik dan elemen HipDut (Hip-Hop Dangdut) yang lebih moden, catchy dan berirama upbeat. Lagu ini dimulakan dengan narasi pembuka yang menggoda, sebelum membawa pendengar menyelami kisah kerinduan terhadap pasangan yang menghilang tanpa khabar, digambarkan secara relatable dengan lirik seperti “gadget terasa sepi kaya bisu”.

Dengan susunan muzik yang enerjik serta repetisi lirik yang mudah melekat di telinga seperti “Aku kangen kamu / Gak usah ngilang melulu”, lagu ini dijangka menjadi salah satu dance anthem baharu yang bakal mendominasi carta dan playlist digital. Gabungan vokal khas Sibad bersama produksi moden turut menjadikan karya ini sebagai antara comeback paling dinanti dalam arena dangdut kontemporari.

Di sebalik penghasilan lagu ini, Sibad turut bekerjasama dengan barisan produser berpengalaman bagi memastikan kualiti muzik yang lebih mantap dan relevan dengan trend semasa. “Bikin Candu” bakal dilancarkan secara rasmi di semua platform penstriman digital pada 8 Mei 2026, sekaligus menandakan fasa baharu perjalanan seni Siti Badriah dalam industri muzik.