Sakura Band Kembali Bersinar dengan Album Baharu “RE:START”, Tanda Kebangkitan Semula

Selepas melalui tempoh rehat yang agak panjang, kumpulan muzik tempatan Sakura Band kini kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan pelancaran album terbaharu mereka berjudul “RE:START”, yang menandakan satu fasa kebangkitan semula buat kumpulan ini. Album tersebut dilancarkan menerusi sebuah persembahan istimewa sempena sidang media yang berlangsung di Hard Rock Café, Kuala Lumpur pada 17 April 2026.

Menurut Mell atau nama sebenarnya Melly Matius yang mewakili Sakura Band, pemilihan judul “RE:START” bukan sekadar simbolik, sebaliknya mencerminkan perjalanan baharu yang dilalui oleh kumpulan itu selepas tempoh rehat yang panjang. Katanya, konsep kali ini lebih menumpukan kepada kemunculan semula Sakura Band dengan sedikit perubahan dari segi muzik yang kini lebih menjurus kepada pop rock, namun masih mengekalkan identiti asal kumpulan tersebut.

Album ini dimulakan dengan trek pengenalan berjudul “RE:START” yang berfungsi sebagai pembuka kepada keseluruhan naratif album. Mell menjelaskan bahawa setiap lagu dalam album ini mempunyai kisah tersendiri yang diinspirasikan daripada pengalaman peribadi ahli kumpulan, menjadikannya lebih dekat dan jujur dengan diri mereka.

Sebagai usaha memperkenalkan semula identiti muzik kepada peminat lama, Sakura Band memilih lagu berunsur pop berjudul “Masih” sebagai single pertama. Lagu ini dipilih kerana mempunyai elemen pop yang kuat serta membawa vibe yang hampir dengan karya mereka sebelum ini, sekali gus menjadi jambatan untuk menghubungkan semula pendengar dengan muzik Sakura Band.

Dari segi produksi, album ini turut menampilkan kolaborasi bersama beberapa nama berpengalaman dalam industri muzik. Sakura Band kembali bekerjasama dengan penyanyi dan penulis lagu Adi 6ixth Sense, selain menjalinkan kerjasama pertama dengan penerbit Laq yang juga merupakan gitaris kumpulan Akim & The Majistret. Proses rakaman bagi lagu “Masih” dan “Bulan & Bintang” dilaporkan berjalan dengan lancar hasil keserasian dan keterbukaan dalam perkongsian idea antara semua pihak terlibat.

Keunikan “RE:START” turut terletak pada pendekatan penulisan lagu yang lebih autentik dan dekat dengan realiti kehidupan seharian. Sakura Band banyak mengambil inspirasi daripada apa yang mereka lalui, rasai dan perhatikan di sekeliling, dengan harapan agar pendengar dapat lebih mudah mengaitkan diri dengan lagu-lagu tersebut.

Dari segi bunyi dan susunan muzik, album ini memperlihatkan evolusi yang lebih matang dengan penerokaan genre pop rock serta elemen eksperimen yang lebih ketara. Ini juga merupakan kali pertama Sakura Band menghasilkan dan menerbitkan album sendiri, sekali gus memberi ruang kepada mereka untuk lebih bebas berkarya sambil tetap mengekalkan identiti muzik yang sudah sinonim dengan kumpulan tersebut.

Namun begitu, proses penghasilan album ini tidak terlepas daripada cabaran, khususnya dalam mencari idea dan konsep yang segar serta mengekalkan konsistensi sepanjang produksi yang bermula sejak Januari 2025. Walaupun berdepan kekangan masa dan komitmen masing-masing, Sakura Band berjaya menyiapkan album ini dengan hasil yang memuaskan dan menganggapnya sebagai satu proses pembelajaran yang berharga.

Sakura Band berharap album “RE:START” dapat diterima baik oleh peminat serta pendengar muzik tempatan, selain mengukuhkan lagi kedudukan mereka dalam industri muzik tanah air. Mereka turut merakamkan penghargaan kepada Seventeen Eleven Music atas peluang dan kepercayaan yang diberikan, dengan harapan album ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak karya dan kolaborasi pada masa akan datang.

Album “RE:START” terbitan Seventeen Eleven Music ini boleh mula distrim di semua platform penstriman muzik digital utama pada 17 April 2026. Muzik video rasmi bagi lagu “Masih” pula akan mula ditayangkan di saluran YouTube Seventeen Eleven Music pada hari yang sama jam 3 petang melalui pautan berikut: https://youtu.be/X1WrYVLYHYc?si=VYzwPE_l51M3O4A7