Hitman Solutions bersama Rockqueen telah mengumumkan perubahan lokasi dan tarikh bagi konsert yang dinanti-nantikan, “Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru”, yang kini akan berlangsung di Setia SPICE Arena, Pulau Pinang pada 22 Ogos 2026. Perubahan ini dibuat selepas penelitian menyeluruh oleh pihak penganjur bersama pasukan produksi dan artis, dengan matlamat utama untuk memberikan pengalaman konsert yang lebih optimum, selesa dan bermakna kepada para peminat.

Pemilihan Setia SPICE Arena dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh pengalaman penonton menerusi suasana persembahan yang lebih imersif, sistem akustik yang lebih terkawal serta susun atur tempat duduk yang lebih dekat dengan pentas. Lokasi tertutup ini juga menawarkan kelebihan dari segi keselesaan penonton, termasuk perlindungan daripada faktor cuaca serta kemudahan akses dan logistik yang lebih baik. Lebih menarik, venue berkenaan turut mempunyai nilai sentimental tersendiri apabila pernah menjadi lokasi kejayaan konsert “Jilid Akhir: Ella Puteri Kota” yang menghimpunkan lebih 14,000 peminat sebelum ini.

Menurut pihak penganjur, keputusan untuk memindahkan lokasi konsert turut dipengaruhi oleh permintaan dan maklum balas peminat yang mahukan pengalaman lebih dekat dan berenergi seperti konsert terdahulu di lokasi sama. Perubahan ini dilihat sebagai satu penambahbaikan yang mengekalkan semangat asal “Homecoming Edisi 60 Permata Biru” sebagai sebuah sambutan istimewa ulang tahun ke-60 Ella, sambil meningkatkan kualiti keseluruhan pengalaman penonton.

Walaupun tarikh asal 25 Julai 2026 terpaksa diubah disebabkan kekangan ketersediaan venue, 22 Ogos dipilih sebagai tarikh terbaik bagi memastikan semua elemen produksi dapat dilaksanakan dengan sempurna. Dalam masa yang sama, pihak penganjur mengesahkan bahawa harga tiket akan kekal seperti diumumkan sebelum ini, tanpa sebarang perubahan.

Bagi pemegang tiket sedia ada, tempat duduk akan dipindahkan secara automatik ke lokasi setara di Setia SPICE Arena tanpa kos tambahan, dan maklumat lanjut mengenai penempatan semula akan dimaklumkan dalam masa terdekat. Selain itu, konsert ini turut meneruskan semangat kempen kebajikan “Peace, Love & Rindu” dengan RM2 daripada setiap tiket disalurkan kepada organisasi terpilih iaitu ABIM Pulau Pinang bagi kategori Peace, Yayasan Kebajikan Negara (Love), dan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (Rindu).

Menambah keterujaan peminat, konsert ini akan menampilkan dua legenda muzik tanah air, Datuk Ramli Sarip dan Ziana Zain sebagai artis jemputan istimewa di bawah segmen “Ahli Majlis Tertinggi”. Beberapa nama tambahan turut dijangka diumumkan tidak lama lagi bagi melengkapkan barisan persembahan malam istimewa tersebut.

Ella sendiri menyambut baik perubahan ini dan menyatakan keterujaannya untuk kembali bertemu peminat di Utara, khususnya di negeri kelahirannya. Menurutnya, keutamaan sentiasa diberikan kepada pengalaman peminat agar setiap persembahan menjadi momen yang tidak dapat dilupakan. Pihak Hitman Solutions turut menegaskan bahawa keputusan ini dibuat demi memastikan konsert tersebut benar-benar mencerminkan status Ella sebagai Ratu Rock negara dengan pengalaman produksi yang lebih mantap dan berkualiti.

Dengan perpindahan ke Setia SPICE Arena, “Homecoming Edisi 60 Permata Biru” dijangka menjadi salah satu konsert paling bersejarah tahun ini, menghimpunkan nostalgia, emosi dan kehebatan persembahan seorang ikon muzik tanah air dalam satu malam yang penuh makna.

Penghargaan Kepada Rakan Media dan Kebajikan
Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada Era FM, Sinar FM, Mix FM dan Lite FM selaku rakan radio rasmi, serta Astro Gempak sebagai rakan media digital bagi konsert ini.

Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, layari www.hitmanlive.com serta ikuti media sosial Hitman Solutions untuk perkembangan terkini.