RM55.1 Juta dan Terus Mendaki, Ejen Ali Buktikan Kuasa Animasi Tempatan!

Filem Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) kini secara rasmi mencatat sejarah baharu sebagai filem animasi dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman di Malaysia, dengan jumlah kutipan mencecah RM55.1 juta. Pencapaian ini menjadikan EATM2 mendahului semua filem animasi tempatan dan antarabangsa yang pernah ditayangkan di pawagam negara.

Lebih mengagumkan, EATM2 juga berjaya menewaskan kutipan beberapa filem blockbuster dari Hollywood dan Asia sepanjang tempoh dua bulan tayangan. Kejayaan ini menjadi bukti kukuh terhadap keyakinan penonton tempatan terhadap karya animasi yang mengangkat nilai, identiti dan semangat Malaysia.

Menurut pengarah EATM2, Usamah Zaid Yasin, kejayaan ini adalah milik semua pihak yang telah memberi kepercayaan sejak awal perjalanan Ejen Ali. Beliau menyifatkan pencapaian tersebut sebagai hasil usaha gigih seluruh pasukan WAU Animation yang tidak pernah mengenal erti penat dalam menghasilkan filem ini. Usamah turut merakamkan penghargaan kepada Primeworks Studios atas komitmen penuh dalam mempromosi filem ini dengan pendekatan segar dan berani, serta kepada para peminat yang menjadi tulang belakang utama kejayaan francais ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Puan Nini Yusof, menegaskan bahawa pencapaian ini adalah hasil kerjasama erat dan semangat kolektif seluruh pasukan produksi. Beliau turut menyeru rakyat Malaysia untuk terus memberi sokongan agar EATM2 berjaya mencapai sasaran kutipan RM60 juta, sekali gus membuka peluang kepada penghasilan naskhah Ejen Ali seterusnya yang diharapkan dapat mengharumkan nama industri animasi tempatan di peringkat antarabangsa.

Bermula dari siri animasi televisyen hingga ke layar perak, Ejen Ali telah berkembang menjadi sebuah francais yang bukan sahaja matang, malah memiliki pengaruh tersendiri. Filem keduanya ini menampilkan peningkatan besar dari segi jalan cerita, kualiti visual dan nilai emosi yang berjaya menyentuh hati pelbagai lapisan penonton, sekali gus mengukuhkan kedudukan animasi tempatan di mata masyarakat.

Ejen Ali The Movie 2 masih ditayangkan di pawagam seluruh negara. Orang ramai digalakkan untuk terus memberikan sokongan kerana misi ini masih belum selesai. Sama-sama kita bantu naskhah tempatan ini mencapai mercu kejayaan yang lebih tinggi.

Satria, bangkit! Saksikan filem aksi animasi yang mempesona dan meledakkan emosi di layar perak. Kongsikan pengalaman anda menonton EATM2 di media sosial menggunakan tanda pagar rasmi #ejenalithemovie2 #eatm2 #ejenali #letsplay #AniMY #sapotlokal #SaluteAnimatorTempatan