KARYAWAN Tegas Tentang Salah Guna Nama “XPDC”, Seru Hormati Hak Intelektual Industri Muzik

Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) ingin menyatakan pendirian tegas terhadap penyalahgunaan nama dan jenama “XPDC” oleh pihak-pihak tertentu yang tidak memiliki kebenaran rasmi. Walaupun tanpa sebarang perakuan sah, pihak ini masih menggunakan nama berkenaan untuk tujuan promosi, persembahan terbuka, dan penampilan komersial. Tindakan ini bukan sahaja menimbulkan kekeliruan dalam kalangan peminat dan penganjur acara, malah berisiko menjejaskan kredibiliti dan integriti industri muzik tanah air.

Nama dan logo “XPDC” merupakan tanda dagangan berdaftar milik eksklusif Life Records dan dilindungi sepenuhnya di bawah akta cap dagangan. Jenama ini bukan sekadar nama, tetapi memiliki nilai komersial tinggi dan reputasi kukuh sejak awal 1990-an, menjadikannya antara kumpulan rock paling berpengaruh dalam sejarah muzik Malaysia. Setakat ini, hanya dua entiti yang mempunyai kebenaran rasmi untuk menggunakan nama tersebut iaitu XPDC (Kita Pengyu) dan XPDC (Militia), yang terdiri daripada anggota asal dan bernaung secara sah di bawah Life Records.

Namun, KARYAWAN menerima maklumat tentang kemunculan satu kumpulan yang memperkenalkan diri sebagai “Real XPDC” dan aktif membuat persembahan serta mempromosikan konsert dengan menggunakan nama “XPDC” secara langsung. Walaupun disertakan istilah “Real”, penggunaan utama nama “XPDC” tetap berlaku, menimbulkan kekeliruan awam dan boleh mencetuskan tanggapan bahawa mereka adalah kumpulan asal.

Dari sudut perundangan, tindakan ini boleh dianggap sebagai pelanggaran hak cap dagangan dan berpotensi dikenakan tindakan undang-undang. KARYAWAN tidak menolak kewujudan kumpulan tribute sebagai bentuk penghargaan dalam dunia seni, namun ia perlu dilakukan secara beretika dan tidak mengelirukan orang ramai. Jika benar niat mereka adalah untuk memberi penghormatan, penggunaan nama alternatif yang tidak menimbulkan kekeliruan serta hubungan yang baik dengan kumpulan asal adalah langkah yang profesional dan bertanggungjawab.

KARYAWAN akan merujuk isu ini kepada pihak Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKK) untuk menyemak status pendaftaran nama “Real XPDC”, sama ada ia telah didaftarkan secara tidak wajar atau dalam kelas yang bercanggah. Jika didapati terdapat pelanggaran terhadap hak cap dagangan, tindakan sewajarnya akan diambil.

Kami menyeru semua penggiat seni, penganjur dan peminat agar terus menghormati hak harta intelek, legasi seni serta prinsip perundangan yang menjadi tunjang kepada kestabilan dan kelestarian industri muzik dan hiburan negara.