TV3 mempersembahkan Rentak Dua Hati, sebuah telefilem yang membuka tirai projek istimewa Dari Layar Ke Lensa sempena ulang tahun ke-41 saluran ini. Telefilem ini menandakan kemunculan pertama Siti Saleha sebagai pengarah, yang turut menghasilkan skrip dan membentuk penceritaan berani mengenai percintaan rentas budaya, identiti berganda, dan kekuatan wanita berhijab dalam menongkah arus norma masyarakat.
Projek Dari Layar Ke Lensa menampilkan empat figura terkenal tanah air Siti Saleha, Fattah Amin, Janna Nick dan Zahiril Adzim yang kini berada di kerusi pengarah, mempersembahkan karya yang lahir daripada pengalaman, emosi dan imaginasi mereka sendiri. Usaha ini mencerminkan komitmen TV3 dalam memperluas horizon penceritaan tempatan, memberikan ruang kepada sudut pandang segar dan lebih dekat dengan jiwa penonton Malaysia.
Rentak Dua Hati mengisahkan Adila (lakonan Auni Yusri), seorang peguam sivil junior yang secara rahsia menjadi DJ malam untuk meluahkan sisi dirinya yang tidak diketahui umum. Pertemuannya dengan Fabian (Zhen Ning), seorang lelaki Cina, membuka ruang cinta yang tak disangka. Namun apabila identiti sebenar Adila terbongkar kepada kakak Fabian, hubungan mereka berdepan tentangan hebat, sekali gus mencetuskan konflik dalaman yang menuntut Adila memilih antara cinta, prinsip dan dirinya sendiri.

Siti Saleha menyifatkan pengalaman mengarahkan telefilem ini sebagai satu cabaran yang memberi kepuasan mendalam. “Cerita ini memang dekat dengan hati saya. Dari menulis skrip hingga ke set, saya dah bayangkan perjalanan Adila. Mengarah bukan mudah, tapi ia memberi ruang untuk saya sampaikan sesuatu yang jujur,” katanya. Tambah beliau, watak Adila mewakili suara ramai wanita yang pernah mengalami dilema antara kehendak sendiri dan tekanan sekeliling.
Auni Yusri pula mengakui dia tidak menyangka akan dipilih untuk membawa watak utama dalam karya pengarah baharu seperti Siti Saleha. “Saya sangat bersyukur diberi kepercayaan ini. Kak Saleha banyak membantu saya memahami watak Adila, dan pengalaman di set sangat bermakna buat saya sebagai pelakon baharu,” ujarnya.
Gabungan pelakon seperti Zhen Ning dan Khatijah Tan turut menyuntik dimensi menarik dalam telefilem ini, menawarkan keseimbangan antara realiti dan emosi. Di saat Adila terperangkap dalam dilema antara suara hati dan harapan orang lain, mampukah dia mempertahankan prinsip dan cintanya tanpa mengorbankan identiti diri?
Saksikan kisah menyentuh ini dalam tayangan perdana Rentak Dua Hati pada Sabtu, 5 Julai 2025, jam 10 malam hanya di slot Cerekarama TV3. Ia adalah yang pertama daripada empat telefilem dalam siri Dari Layar Ke Lensa, diikuti oleh Noktah Dosa arahan Fattah Amin (12 Julai), Susu Lima Kupang arahan Janna Nick (19 Julai) dan Pencuri Rumah Imam arahan Zahiril Adzim (26 Julai).
Untuk kemas kini lanjut mengenai telefilem-telefilem ini dan kandungan eksklusif lain, ikuti laman sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram melalui @TV3Malaysia serta @dramasangat di Instagram.