Aura selebriti dan kehangatan rasa bersatu di St Rosyam Mart, Jalan Kebun apabila penyanyi legenda tanah air, Dato’ Khadijah Ibrahim, secara rasmi melancarkan produk sulungnya dalam dunia kulinari Sos Cili Pedas Ibu. Pelancaran ini bukan sahaja mencuri perhatian pengunjung, malah mengundang kemeriahan luar biasa daripada peminat setia dan media.
Sos Cili Pedas Ibu bukan sos biasa. Ia adalah gabungan rasa autentik yang diwarisi, diinspirasikan dari dapur Dato’ Khadijah sendiri. Dengan rasa pedas yang menyengat, tekstur pekat dan keaslian resepi keluarga, produk ini menjadi pelengkap sempurna untuk penggemar sajian bercita rasa tinggi dan asli.
Acara pelancaran diserikan dengan pelbagai aktiviti interaktif dari kuiz dan permainan, ke sesi karaoke istimewa bersama Dato’ Khadijah yang menggamit kenangan, hingga demonstrasi masakan menggunakan Sos Cili Pedas Ibu sendiri. Lebih menarik, pengunjung turut diberi peluang untuk menikmati sesi rasa percuma dan merasai keistimewaan produk ini secara langsung.

Dalam ucapannya yang penuh emosi, Dato’ Khadijah berkata,
“Sos ini adalah ungkapan kasih saya. Ia bukan sekadar produk, tetapi kenangan dan rasa yang saya ingin kongsi bersama rakyat Malaysia dan peminat yang sentiasa menyokong.”
Menariknya, usaha ini turut diselitkan dengan nilai kebajikan. Sebahagian daripada hasil jualan akan disalurkan kepada Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) sebagai sokongan kepada rakan-rakan seni yang memerlukan bantuan.
Sos Cili Pedas Ibu kini boleh didapati secara eksklusif di St Rosyam Mart, serta menerusi platform dalam talian seperti Shopee dan TikTok Shop.
Pelancaran ini menjadi bukti bahawa selebriti bukan sahaja mampu menyinar di pentas seni, malah terus menyumbang dalam dunia keusahawanan makanan dengan penuh rasa cinta dan jati diri. Sos Cili Pedas Ibu adalah rasa dari hati dan kini, ia milik semua.