TEKNOLOGI baharu, RapidSOS membantu Jabatan Polis Greenville menentukan lokasi pemanggil panggilan kecemasan 911 dengan lebih pantas.
Menurut laporan www.foxcarolina.com, jabatan polis itu kini mempunyai akses kepada perisian teknologi baharu yang boleh memaklumkan lokasi sebenar pemanggil walaupun dalam kenderaan yang bergerak.
Menariknya, perisian canggih ini mampu ‘mengunci’ lokasi pemanggil dengan pantas, hanya dalam tempoh 30 saat sekali gus membantu bagi kes lemas atau penculikan.
Menurut Pengarah Jabatan Polis Greenville, Frances Moore, pengujian teknologi itu dilaksanakan sebelum ini secara tidak rasmi bagi memastikan ketepatan data.
“Alat ini kami akses untuk beri laluan kepada orang yang memerlukan bantuan. Dengan cepat kami boleh tahu lokasi mereka dan selamatkan nyawa.
“Dengan teknologi baru ini, pemanggil hanya perlu tunggu di talian dan polis akan bantu kesan mereka dengan sekelip mata,” katanya.