Pulau Gaya destinasi ke-3 kempen imunisasi polio

Pulau Gaya destinasi ke-3 kempen imunisasi polio

SELEPAS 27 tahun negara bebas daripada wabak polio, beberapa kes berlaku akhir-akhir ini kian menggusarkan kebanyakan kelompok masyarakat. Pelbagai pihak khususnya kerajaan meningkatkan usaha pencegahan berkaitan.

Terbaharu, Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS) di Pulau Gaya merupakan destinasi ketiga selepas daerah Tuaran dan penempatan Telipok di Kota Kinabalu.

Kempen itu mensasarkan semua kanak-kanak di bawah umur lima tahun termasuk bukan warganegara bagi mencegah penularan wabak polio.

Inisiatif tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Phoon Ming Fung.

Turut hadir di majlis tersebut, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Janet Chee Ken Liam, pegawai-pegawai kanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah, Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Negeri, serta pemimpin-pemimpin masyarakat.

KIPS 2019/2020 itu telah dilancarkan pada 27 Disember lalu hasil kerjasama JKN Sabah dengan Kerajaan Negeri Sabah.

Sejak dimulakan, seramai 3,983 orang kanak-kanak di Tuaran, 1,450 orang kanak-kanak di Penempatan Telipok dan 922 orang kanak-kanak di Pulau Gaya telah diberikan Oral Polio Vaccine (OPV).

Setakat ini, tiga kes polio telah dikesan di Sabah dan semua kes melibatkan bukan warganegara.

Kerajaan khususnya melalui Kementerian Kesihatan Malaysia, mengingatkan amat penting untuk kita mengekalkan peratusan herd immunity yang tinggi sekurang-kurangnya 95 peratus bagi mengelak penyakit polio merebak.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *