PREMIS DISYAKI TEMPAT MELAKUKAN AKTIVITI PENYELEWENGAN MINYAK DIESEL BERSUBSIDI DISERBU PENGUATKUASA KPDNHEP

PREMIS DISYAKI TEMPAT MELAKUKAN AKTIVITI PENYELEWENGAN MINYAK DIESEL BERSUBSIDI DISERBU PENGUATKUASA KPDNHEP

PUTRAJAYA, 12 Oktober 2022 – Minggu lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menumpaskan operasi pengalihan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah premis tanpa nombor alamat di Taman Industri Selesa Jaya, Johor, yang disyaki digunakan untuk menjalankan diesel bersubsidi. aktiviti pemindahan minyak dan depot simpanan minyak bahan api yang menyalahi undang-undang.

Serbuan yang telah dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDNHEP Putrajaya pada jam 3.00 petang itu hasil daripada risikan yang telah dilakukan beberapa hari sebelum serbuan itu. Semasa pemeriksaan, seorang lelaki warga tempatan lingkungan 30 an bersama seorang lelaki bukan warga tempatan yang mengaku sebagai pekerja di premis terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan.

Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan serbuan telah menemukan minyak diesel dianggarkan berjumlah 9,000-liter bersama beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk melakukan aktiviti terbabit. Premis juga telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada KPDNHEP berhubung berurusan dengan barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sehubungan dengan itu, pasukan serbuan telah bertindak dengan menyita sejumlah 9,000-liter minyak diesel, sebuah lori, peralatan penyambungan dan beberapa dokumen perniagaan yang berkaitan. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 99,350.00.

Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut terhadap kes ini akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenalpasti punca bekalan minyak diesel diperolehi dan diedarkan termasuklah mendakwa pihak yang terlibat ke Mahkamah.

KPDNHEP ingin memberikan amaran keras kepada mana-mana pihak yang berurusan dengan barang kawalan berjadual khususnya minyak diesel agar mematuhi perundangan yang telah ditetapkan. Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh di ambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM 1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta).

Selain itu, siasatan juga akan dilakukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat pelucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewegan berkaitan minyak diesel.

Jika disabit kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima belas (15) tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana lebih tinggi.

Orang ramai disarankan untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi ini bagi memastikan aktiviti ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada rakyat dan Negara.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi ini boleh menyalurkan aduan kepada pihak Kementerian melalui saluran berikut:

i. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000
ii. Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my
iii. Call Centre 1-800-886-800
iv. Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my
v. Ez ADU KPDNHEP