SHAH ALAM – Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) bersama 104 cawangan termasuk perpustakaan bergerak menganjurkan program World #QuranHour 1444H di lokasi masing-masing secara serentak pada jam 12 hingga 1 tengah hari, 13 April ini.
Pengarah PPAS, Datin Paduka Mastura Muhamad berkata, meskipun penganjuran kali ini bersederhana tetapi lebih bermakna untuk orang ramai menghayati dan mengamalkan isi kandungan al-Quran.
“World #QuranHour yang ke lapan ini diadakan secara fizikal dan atas talian di Ibu Pejabat PPAS di Shah Alam dan perpustakaan di semua daerah termasuk perpustakaan bergerak, Smart Selangor Mobile Library yang masuk ke kawasan Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT).
“Saban tahun, rakan sinergi kami seperti Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan semua agensi kerajaan di seluruh negeri dimaklumkan untuk turut serta menganjurkan aktiviti bersama al-Quran di lokasi masing-masing.
“Tahun ini, kebanyakan rakan sinergi PPAS dan perpustakaan awam sudah bertanya lebih awal mengenai World #QuranHour. Sebelum ini kita banyak membuat publisiti kepada mereka untuk sertai program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini,” katanya pada Ahad.
Tambah beliau, penglibatan PPAS bermula daripada penubuhan Rumah Ngaji, Malaysia Ngaji, World #QuranHour yang digerakkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) sejak 2015 sehingga kini.
“Aktiviti bersama al-Quran kini bukan lagi untuk publisiti, tetapi ia lebih personal. Ketika musim pandemik Covid-19, ramai berkurung di rumah dan mengaji al-Quran sekurang-kurangnya sejam setiap hari dengan mengikuti program My #QuranTime.
“Apabila memasuki fasa peralihan endemik, semua warga kerja PPAS menyertai sesi berinteraksi dengan al-Quran secara fizikal dan atas talian bermula 8 pagi hingga 8.30 pagi. Kami mula mengaji bermula pertengahan tahun 2021 dan khatam al-Quran pada Januari lalu.
“Bermula Februari, PPAS yang mempunyai 295 kakitangan memulakan sesi pada pukul 8.30 hingga 8.45 pagi setiap hari waktu bekerja dengan membaca Surah Al-Fatihah, Surah Al-Baqarah ayat 1 hingga 5 dan Hadis 40. Himpunan hadis tersebut adalah kekuatan Rasulullah SAW yang boleh kami pelajari dan menghayatinya daripada kupasan ustaz dalam kalangan warga kerja PPAS,” ujarnya.
Menurut Mastura, Surah Al-Insan sebagai surah pilihan yang bertemakan “Memanusiakan Ummah” bagi program #QuranHour tahun ini bertepatan untuk dijadikan panduan manusia hari ini berubah dari segi hati, minda dan akhlak untuk menjadi insan bersifat kemanusiaan.
“Surah ke 76 ini membawa 11 ciri al-abrar atau orang yang berkebajikan iaitu amanah, takwa, infak, ikhlas, berorientasikan akhirat, teguh, sabar, kawalan diri, taat, bina jiwa, dan syukur. Kita perlu meletakkan akhirat di hadapan mata dan dunia di bawah dagu. Untuk mengutamakan akhirat, kita perlu berpegang teguh dengan al-Quran melalui mengaji, bertadabbur dan memahami maknanya.
“Manusia juga tidak terlepas daripada ujian. Oleh itu, kita perlu sabar, tabah, jauhkan diri daripada perkara dosa dan jaga solat pada waktunya. Bersolat tahajud dapat membina jiwa, seterusnya melihat lebih nikmat ALLAH di sebalik ujian dan menjadi orang bersyukur,” katanya.
Beliau berpendapat, World #QuranHour memberi impak kepada pihak PPAS untuk melakukan proses penjenamaan semula, dan menggunakan enam langkah Strategi Luatan Biru untuk mencapainya.
Jelasnya, antara pendekatan PPAS adalah memberi fokus kepada perkara lebih besar, membina pasaran baru dan golongan sasar, utamakan keutamaan dalam melakukan perubahan secara dalaman dan luaran, atasi masalah dalaman organisasi dan melangkau keputusan di luar kotak.
“Surah Al-Insan memberi panduan untuk menjadi al-abrar yang bersyukur kepada ALLAH SWT. Apabila kita dapat memahami dan yakin sifat kasih sayang ALLAH yang Maha Luas dan Maha Pengampun, maka hidup kita tidak menjadi tertekan.
“Saya menghargai usaha Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub yang menjadi pencetus gerakan al-Quran dan kempen Rasuah Buster. Kita perlu mulakan pendidikan di peringkat awal iaitu daripada anak, golongan muda, ibu bapa dan ummah dalam membina sifat integriti diri yang mulia.
“Peranan PPAS sebagai pemberi ilmu kini membawa slogan ‘Perpustakaan bawa kegembiraan’, dengan harapan semua warga kerja kami dapat memberikan kegembiraan, kemuliaan dan membahagiakan orang lain dengan memberi khidmat terbaik,” ujarnya.
Orang ramai termasuk NGO, agensi kerajaan dan swasta, usahawan dialu-alukan menganjur di lokasi masing-masing dan daftar hotspot di: https://bit.ly/HOTSPOTWQH2023
Mereka yang ingin menjadi peserta World #QuranHour di lokasi perdana, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Jalan Gombak, boleh mendaftar di https://bit.ly/KEHADIRANWQH1444H2023