Hype Live bersama Black Sky Enterprise dengan rasa bangga mempersembahkan POP UP MUZIK, sebuah platform baharu yang diwujudkan khas untuk merapatkan artis Asia dengan para peminat di Malaysia. Edisi sulung ini bakal mengetengahkan dua nama besar iaitu Armada, band legenda dari Indonesia yang masih segar dengan koleksi hits malar segar, serta Batas Senja, kumpulan yang semakin mencuri hati pendengar tempatan dengan karya lirik puitis penuh emosi.

Acara yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 17 Oktober 2025 ini dijanjikan lebih daripada sekadar konsert biasa. Selari dengan misi Hype Live, POP UP MUZIK dicipta sebagai jambatan budaya dan muzik merentas negara, memberikan pengalaman lebih dekat, interaktif dan penuh detik istimewa buat peminat. Ketua Pegawai Eksekutif Hype Live, Dipta, menjelaskan bahawa POP UP MUZIK diwujudkan sebagai jawapan kepada kerinduan peminat Malaysia yang mahu berinteraksi dengan artis antarabangsa secara lebih mesra, lengkap dengan sesi bertemu peminat dan peluang bergambar eksklusif.
Bagi pihak penerbit bersama, Willy Dozan yang mewakili Black Sky menegaskan bahawa membawa Armada dan Batas Senja di pentas yang sama di Kuala Lumpur adalah langkah berani dan istimewa kerana belum pernah berlaku sebelum ini. Beliau yakin gabungan dua band yang mendapat sambutan hangat ini akan menghadirkan persembahan yang menghiburkan dan meninggalkan kenangan manis kepada setiap penonton di Zepp Kuala Lumpur.

Armada dijangka memanaskan suasana dengan deretan lagu popular seperti Asal Kau Bahagia dan Pergi Pagi Pulang Pagi yang pasti membuat dewan bergema dengan nyanyian bersama. Sementara itu, Batas Senja akan memikat emosi hadirin dengan karya mereka yang menyentuh jiwa termasuk Nanti Kita Seperti Ini, Kita Usahakan Lagi dan Menceritakanmu. Dengan gabungan tenaga dua kumpulan ini, POP UP MUZIK menjanjikan sebuah malam penuh warna, emosi dan harmoni yang akan diingati peminat dalam jangka masa lama.

Tiket rasmi kini boleh didapati di HYPELIVE MY dot TIXR dot COM slash POPUPMUZIK. Orang ramai diajak hadir dan menjadi sebahagian daripada malam penuh magis pada 17 Oktober 2025 di Zepp Kuala Lumpur. Pintu akan dibuka pada jam 7.30 malam dengan barisan utama Armada dan Batas Senja. Untuk maklumat lanjut, ikuti perkembangan terkini di Instagram rasmi @popupmuzik.my.