Industri hiburan tempatan terus berkembang dengan pelancaran platform penstriman digital eksklusif OTT bernama UTV yang hadir bersama tagline “Stream For You”.
Platform ini diperkenalkan oleh Usanita Sdn Bhd sebagai ruang segar yang bukan sahaja menampilkan pelbagai pilihan hiburan, tetapi juga membuka peluang besar kepada bakat kreatif tempatan untuk melangkah lebih jauh ke pentas global.
Presiden UTV yang juga merupakan CEO Usanita Group, Datuk Adzliana Prof. Dato Sri Dr. Hasan atau Datuk Nana menjelaskan bahawa UTV lahir daripada inspirasi dan pengalaman panjang Usanita dalam kerjasama bersama industri seni tempatan serta stesen televisyen antarabangsa. Beliau menegaskan bahawa setiap karya yang dihasilkan tidak hanya membawa nilai hiburan, tetapi juga legasi yang mencerminkan tamadun bangsa.

UTV beroperasi menggunakan model Pay Per Content yang memberi kebebasan kepada penonton untuk memilih kandungan tanpa perlu melanggan keseluruhan pakej. Pendekatan ini memberi nilai eksklusif kepada setiap karya di samping memudahkan pengguna menyesuaikan pilihan mengikut minat masing masing.
Keunikan UTV berbanding platform lain adalah kesediaannya membuka ruang pitching kepada semua pihak. Sama ada syarikat produksi besar, penerbit indie mahupun penulis skrip baharu, pintu UTV sentiasa terbuka luas. UTV ingin menjadi medium yang mencungkil bakat baharu serta mengetengahkan idea segar agar industri seni terus berkembang dengan kepelbagaian karya.
Pihak UTV mengalu-alukan semua penulis skrip dan penerbit untuk menghantar idea serta sinopsis mereka melalui e-mel support@utv.com.my atau mesej di media sosial rasmi UTV iaitu Instagram @utv.official dan TikTok @utvoriginal. Dengan langkah ini, UTV diyakini mampu menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih banyak karya asli Malaysia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
UTV menampilkan lima segmen utama bagi memenuhi pelbagai citarasa penonton. UTV Original menayangkan drama dan telefilem eksklusif berkualiti tinggi antaranya Saling Tak Terlihat lakonan Remy Ishak dan Nora Danish, Langit Tanpa Bintang lakonan Nabila Huda dan Hasnul Rahmat, Diari Air Mata dengan lagu tema daripada Ajai dan Aisha Retno, Poskad Cinta Dari Auckland lakonan Fattah Amin dan Amira Othman, Anak Mak lakonan Sheila Rusly dan Sophia Albarakbah, Aku Cinta Dia lakonan Zoey Rahman dan Fattah Amin serta Hantu Cinta Kamu lakonan Zizan Razak, Sherry Alhadad dan Nora Danish.
UTV Music membawakan konsert eksklusif ke skrin anda seperti Showcase Janji oleh Dayang Nurfaizah dan A Night With Aina Abdul 3.0.
UTV Podcast hadir dengan perbincangan segar dan relevan antaranya Hitam Putih, Ruang Usanita serta rancangan akan datang Next Gen Ummah.
UTV Talkshow menampilkan bual bicara santai namun penuh nilai seperti Unwrapped Kisah Disebalik Spotlight dan Cook With Sheila Rusly.
UTV Smart pula menggabungkan hiburan dan ilmu melalui program seperti Bootcamp Usanita serta Online Business Game 101 with Zoey Rahman.