10 Januari 2025 menjadi saksi kembalinya Pitahati dengan sebuah single terbaharu berjudul “Ana Yang Punya (1 Ringgit 2 Ringgit)”, menampilkan gabungan unik antara humor dan kritikan sosial. Lagu ini diterbitkan oleh Luncai Emas dan merupakan hasil ciptaan serta produksi sepenuhnya oleh anggota Pitahati sendiri, bersama Husyairi Hamzah selaku penerbit bersama. Proses rakaman, adunan dan mastering pula disempurnakan oleh Mokhtar.
Menurut vokalis utama, Ilham lagu ini secara halus menyindir golongan yang seolah-olah lupa diri apabila diberikan kuasa, merasakan segalanya dalam dunia ini adalah milik mereka. “Kami bawakan mesej yang serius, tapi dalam cara yang santai dan lucu. Lagu ini tak tuju kepada sesiapa secara langsung tapi siapa yang makan cili, dia terasa,” seloroh Ilham.
Menariknya, melodi Ana Yang Punya secara tidak sengaja mengundang nostalgia kepada peminat muzik klasik khususnya lagu “Riders on the Storm” oleh The Doors. Namun begitu, menurut Hidayat, gitaris Pitahati persamaan itu lebih kepada kebetulan. “Kami tak ambil inspirasi secara langsung. Tapi mungkin aura muzik lama tu memang ada dalam darah kami.”
Apa yang membezakan karya ini daripada karya-karya sebelum ini ialah nadanya yang lebih santai dan bersahaja. “Kami rasa lagu ini cara terbaik untuk memperkenalkan sisi ‘baru’ Pitahati yang lebih kelakar tapi tetap berisi.” Sebagai single pembuka untuk album akan datang, Ana Yang Punya diangkat sebagai penanda perubahan gaya dan nada dalam perjalanan muzik Pitahati. Lagu ini bukan sekadar hiburan, tetapi turut membawa mesej yang boleh direnungkan oleh semua lapisan pendengar.
Ana Yang Punya (1 Ringgit 2 Ringgit) kini boleh distrim di semua platform digital utama. Untuk visual rasmi, peminat boleh menontonnya di saluran YouTube Pitahati. Jangan lupa ikuti Pitahati di media sosial untuk kemas kini tentang muzik dan projek-projek menarik yang akan datang!