Perbadanan Nasional ambil langkah proaktif tangani Covid-19

SHAH ALAM – Perbadanan Nasional (PNS) telah mengambil langkah proaktif bagi mencegah warga kerja daripada terdedah dengan wabak koronavirus (Covid-19) di Menara PNS, Bangsar South, Kuala Lumpur.

Dalam kenyataan hari ini, PNS menyatakan proses pembersihan dan pembasmian virus telah dijalankan bermula pada 5 Mac hingga 8 Mac lalu bertujuan untuk memastikan persekitaran yang bersih untuk pekerja, penyewa dan pelawat sepanjang masa.

“PNS juga telah mengambil langkah berjaga-jaga bagi menangani penularan Covid-19 dengan memeriksa suhu badan setiap warga kerja, penyewa dan pelawat sebelum memasuki Menara PNS dan menyediakan pembersih tangan di dua kaunter utama bangunan.

“PNS juga telah mengaktifkan Crisis Management Team (CMT) untuk bersedia mengatasi krisis Covid-19 jika virus tersebut menular ke PNS. CMT bertanggungjawab memantau keadaan dan akan berhubung secara langsung kepada semua warga kerja dan penyewa seperti memberi peringatan dan arahan tindakan bagi menangani krisis penularan Covid-19 secara menyeluruh,”katanya.

Menurutnya, PNS sentiasa mengutamakan kesihatan dan keselamatan warga kerja dengan mengedarkan topeng muka dan suplemen Vitamin C seperti yang disarankan pakar perubatan untuk meningkatkan sistem imunisasi menangani virus.

“PNS menyarankan kepada warga kerja untuk meluangkan masa berjalan kaki pada setiap pagi bagi mendapatkan sumber Vitamin D daripada sinaran matahari selain menggalakkan gaya hidup sihat,”katanya.

Sementara itu, outlet Gloria Jean’s Coffees dan 1901 di Menara PNS beroperasi seperti biasa dan langkah-langkah yang disyorkan tetap dilaksanakan sepanjang masa.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *