MENJELANG 2021, kecerdasan buatan (AI) di Malaysia akan membolehkan kadar inovasi meningkat hampir dua kali ganda, sekali gus meningkatkan produktiviti pekerja sebanyak 60 peratus. Ia berdasarkan kajian oleh Microsoft dan IDC Asia/Pasifik ke atas pemimpin perniagaan bertajuk ‘Perniagaan Siap Masa Depan: Menilai Potensi Pertumbuhan Asia Pasifik Melalui AI meninjau 100 pemimpin perniagaan dan 100 pekerja di Malaysia’.
Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, K Raman berkata, seramai tujuh daripada 10 pemimpin perniagaan bersetuju bahawa AI berperanan penting untuk organisasi mereka kekal berdaya saing dan 26 peratus organisasi di Malaysia telah memulakan mengaplikasikan AI mereka.
Menurutnya, syarikat yang menggunakan AI mengharapkan peningkatan daya saing kepada 2.2 kali ganda menjelang 2021.
“Hari ini, setiap syarikat adalah sebuah syarikat perisian. Untuk berjaya dalam dunia baharu ini, organisasi perlu menjadi peneraju teknologi terbaik dan mereka perlu membina keupayaan digital yang unik.
“AI adalah teknologi yang menentukan masa depan bagi mempercepatkan transformasi perniagaan, membolehkan inovasi, meningkatkan produktiviti pekerja dan memastikan pertumbuhan selanjutnya. Ekonomi dan perniagaan yang masih belum memulakan perjalanan AI menghadapi risiko untuk kehilangan manfaat kompetitif yang dinikmati pemimpin dalam perniagaan,” katanya.
Malaysia perlu bina budaya AI
Kajian itu juga menilai enam dimensi penting untuk memastikan kejayaan perjalanan AI di Malaysia.
Pengarah Penyelidikan IDC Asia Pasifik Datacenter Group, Jun-Fwu Chin berkata, ia mendedahkan bahawa negara perlu memberi tumpuan kepada peningkatan di semua bidang terutamanya data dan pelaburan untuk mempercepat perjalanan AI.
“Malaysia masih belum bersedia untuk AI. Untuk berjaya dalam perlumbaan AI, Malaysia perlu meningkatkan kesediaannya secara lebih ketara. Kepimpinan organisasi harus menjadikan AI sebahagian teras strategi dan mengembangkan budaya ketangkasan pembelajaran.
“Mereka perlu terus melabur dalam teknologi transformatif ini untuk kejayaan jangka panjang, biarpun kadangkala pelaburan itu tidak mendatangkan pulangan segera,” katanya.
Tambahnya, pemimpin perniagaan yang mengamalkan AI menghadapi tiga cabaran utama iaitu:
i – Kekurangan kepimpinan pemikiran dan komitmen kepimpinan untuk melabur dalam AI;
ii – Kekurangan kemahiran, sumber dan program pembelajaran berterusan;
iii – Kurang analisis maju atau infrastruktur dan alat mencukupi untuk membangunkan suatu pandangan yang boleh dilihat.
“Kajian menunjukkan bahawa, untuk meneruskan perniagaan menerusi AI mereka mestilah mewujudkan budaya organisasi yang betul. Majoriti pemimpin perniagaan dan pekerja yang dikaji menyatakan kepercayaan bahawa ciri-ciri budaya yang menyokong perjalanan AI seperti pengambilan risiko, inovasi proaktif dan perkongsian fungsi dalam kalangan pasukan, tidak meluas hari ini.
“Keseluruhannya, pekerja di Malaysia lebih ragu-ragu daripada pemimpin perniagaan mengenai kesediaan budaya AI di organisasi mereka,” katanya.
Tangani cabaran kemahiran Sementara itu, Raman berkata, pemimpin perniagaan perlu menguasai budaya baharu apabila inovasi dan pembelajaran berterusan adalah komponen teras dalam budaya organisasi.
“Ia menetapkan peringkat untuk ketangkasan, penyesuaian dan pertumbuhan. Kajian mendapati pemimpin dan pekerja sesebuah perniagaan di Malaysia mempunyai pandangan yang positif tentang impak AI terhadap masa depan pekerjaan.
“Lebih 67 peratus daripada pemimpin perniagaan dan 64 peratus pekerja percaya bahawa AI akan membantu melakukan pekerjaan mereka menjadi lebih baik serta mengurangkan tugas berulang.
“Menariknya, pekerja lebih optimistik. Hanya tujuh peratus mengharapkan AI untuk menggantikan cara kerja dan 18 peratus untuk melakukan pekerjaan baharu. Pada masa sama, hampir 11 peratus pekerja mengharapkan tiada kesan kepada pekerjaan mereka dalam tempoh tiga tahun dari sekarang,” katanya.
Beliau berkata, kajian itu juga mendapati 23 peratus pemimpin perniagaan berasakan bahawa pekerja tidak mempunyai minat untuk mengembangkan kemahiran baharu apabila melaksanakan AI, sementara 10 peratus pekerja pula tidak berminat dengan teknologi ini.
“Justeru, visi utama Microsoft untuk AI adalah memberi kefahaman bahawa teknologi AI tidak boleh maju tanpa manusia. Ini bermakna, ramai perlu mengubah diri menjadi pekerja mahir serta pelajar yang memerlukan masa depan AI.
“Adalah amat menyedihkan melihat 82 peratus perniagaan mengutamakan kemahiran pekerja pada masa depan. Mereka merancang untuk melabur lebih banyak dalam modal insan daripada teknologi baharu sedangkan 72 peratus pemimpin perniagaan belum melaksanakan rancangan untuk membantu pekerja mereka memperoleh kemahiran yang betul. Justeru, kewujudan AI bertujuan membolehkan mereka menyokong peralihan asas pekerja latihan untuk masa depan,” katanya.
Potensi AI sangat besar
Pengarah Data Ekonomi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (Mdec), Dr Karl Ng Kah Hou berkata, teknologi mampu mengubah peraturan perniagaan dan adalah penting untuk masa depan ekonomi Malaysia membina ekosistem inovasi digital yang kuat.
“Potensi AI sangat besar dan sektor perniagaan Malaysia perlu menerima transformasi digital ini untuk mempercepatkan peralihan ke arah Revolusi industri 4.0,” katanya.