Ajwa Bakery dan Adina Charity Circle Melancarkan Program Care Cake untuk Tabung Kanak-Kanak Kanser

Ajwa Bakery dengan kerjasama Adina Charity Circle hari ini melancarkan Program Care Cake, satu inisiatif istimewa yang memperkenalkan produk terbaharu Ajwa iaitu Marbeles Series (gabungan kek marble dan keju) yang melambangkan harapan serta kasih sayang. Majlis pelancaran ini turut disertai dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak sebagai komitmen rasmi ke arah kerjasama ini.

Program Care Cake menggabungkan elemen keusahawanan dan kebajikan dengan matlamat murni sebanyak 30% daripada hasil jualan Marbeles Series akan disalurkan terus ke Tabung Kanak-Kanak Kanser Adina. Dana yang dikumpul akan digunakan untuk membekalkan keperluan asas seperti lampin pakai buang dan susu bernutrisi kepada kanak-kanak dan remaja yang sedang menjalani rawatan kanser.

Pengasas Ajwa Bakery, Puan Dahlia Nazmi, menyatakan bahawa pihaknya percaya dunia perniagaan mampu menyumbang secara langsung kepada masyarakat. Menurut beliau, melalui Program Care Cake, Ajwa berbesar hati dapat berganding bahu bersama Adina dalam menjadikan setiap potongan kek sebagai simbol harapan.

Sementara itu, Pengerusi Adina Charity Circle, Puan Nurdieana Mohd Mardzi, menyifatkan program ini sebagai bukti bahawa kebaikan boleh hadir dalam pelbagai bentuk termasuk melalui makanan. Katanya, setiap pembelian bukan sekadar memberikan kemanisan rasa, tetapi juga menyumbang harapan kepada anak-anak pesakit kanser.

Selain pelancaran produk, kedua-dua organisasi turut bersetuju untuk menganjurkan pelbagai aktiviti bersama seperti kempen kesedaran dan program interaksi dengan kanak-kanak pesakit kanser, melibatkan penyertaan sukarelawan sepanjang tempoh kerjasama ini berlangsung.

Produk Marbeles Series di bawah Program Care Cake kini boleh didapati di cawangan Ajwa Bakery di Kota Damansara dan Taman Melawati. Ia juga akan ditawarkan melalui platform jualan dalam talian yang akan diumumkan tidak lama lagi.