Pelabur asing kekal pembeli bersih, catat RM170.0 juta minggu lepas

Gambar hiasan - Foto 123rf

Gambar hiasan – Foto 123rf

KALANGAN pelabur asing meneruskan aktiviti belian di Bursa Malaysia pada minggu lepas dengan membeli saham-saham bernilai RM179.0 juta berbanding RM570.9 juta yang dicatatkan pada minggu sebelumnya, kata MIDF Research.

Dagangan pada minggu lepas adalah singkat berikutan cuti umum Awal Muharam pada Rabu.

Cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd itu berkata, pelabur asing telah membuat belian bernilai RM56.3 juta pada Isnin lepas.

“Ini diikuti dengan pembelian bernilai RM71.0 juta pada hari Khamis dan RM61.7 juta pada hari Jumaat namun menjadi penjual bersih sebanyak RM10.1 juta pada Selasa,” katanya dalam Laporan Aliran Dana bagi minggu dagangan berakhir 21 Julai, 2023, yang dikeluarkan pada Isnin.

MIDF berkata, tiga sektor yang menjadi tumpuan pembelian bersih oleh pelabur asing itu adalah utiliti (RM107.0 juta), teknologi (RM73.5 juta) dan pembinaan (RM68.4 juta).

Selain itu, tiga sektor lain yang menyaksikan jualan bersih adalah produk dan perkhidmatan pengguna (-RM103.1 juta), perkhidmatan kewangan (-RM35.8 juta) dan REIT (-RM11.2 juta).

Pelabur asing telah melakukan jualan bersih bernilai RM3.70 bilion setakat tahun ini.

Dalam pada itu, institusi dana tempatan mengekalkan pendirian sebagai penjual bersih untuk minggu kedua berturut-turut dengan mencatat RM91.3 juta.

Institusi itu bertindak membeli RM9.8 juta pada Isnin dan RM2.8 juta pada Selasa sebelum berperanan sebagai penjual bersih dengan melepaskan RM49.0 juta pada Khamis dan seterusnya RM54.9 juta pada Jumaat.

Pada masa sama, kalangan pelabur runcit tempatan bertindak sebagai penjual bersih bagi minggu kedua berturut-turut yang membabitkan jumlah -RM87.7 juta.

“Mereka hanya melakukan pembelian bersih bernilai RM7.2 juta pada Selasa dan melakukan jualan bersih -RM66.1 juta pada Isnin, -RM22.0 juta pada Khamis dan -RM6.8 juta pada Jumaat,” katanya.

Pelabur runcit dan institusi tempatan menjadi pembeli bersih setakat tahun ini yang masing-masing berjumlah RM3.53 bilion dan RM165.8 juta, kata MIDF Research.

Menurutnya, dari segi penyertaan pula menyaksikan purata jumlah dagangan harian dalam kalangan pelabur asing susut -2.9 peratus manakala pelabur runcit dan institusi tempatan masing-masing meningkat sebanyak 6.8 peratus dan 17.4 peratus. – Bernama

Sumber