Blog

  • Sesi awal Bursa Malaysia saksi dagangan tidak menentu

    Sesi awal Bursa Malaysia saksi dagangan tidak menentu

    DAGANGAN di Bursa Malaysia berehat seketika pada sesi awal pagi ini untuk dibuka rendah sedikit selepas mencatatkan keuntungan menggalakkan semalam dengan urus niaga tidak menentu.

    Bagaimanapun, untuk indeks secara keseluruhannya, Pasaran ACE masih lagi merekodkan momentum positif dengan mengukuh 0.42 peratus, sebaliknya, kaunter kegemaran para pelabur iaitu kaunter-kaunter penjagaan kesihatan merosot 1.92 peratus.

    Pada 9.03 pagi, indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.63 mata kepada 1,604.79 berbanding 3.12 mata ketika dibuka.

    Kaunter untung dan rugi mencatatkan jumlah yang sama iaitu 200, manakala 276 kaunter tidak berubah, 1,324 tidak diniagakan dan 16 lain digantung.

    Jumlah dagangan ialah 843.65 juta unit bernilai RM241.81 juta.

    Seorang penganalisis berkata, pasaran secara keseluruhannya akan terus menjadi permintaan bagi saham murah kerana prospek lebih cerah bagi mereka untuk berhadapan dengan gelombang Covid-19 terutamanya saham teknologi.

    “Berbanding saham mewah terutamanya perbankan yang telah tertekan sejak awal tahun ini, para pelabur menjangkakan pulangan yang kecil tetapi tinjauan masa depannya nampak kukuh,” kata beliau.

    Di FBM KLCI, Malacca securities berkata momentum positif indeks utama akan terus dipacu oleh prestasi kukuh saham berwajaran tinggi kaunter pembuat sarung tangan seperti Hartalega dan Top Glove.

    Bagaimanapun, keuntungan boleh terbatas dek kelemahan prestasi semalaman Wall Street yang mungkin boleh menjejaskan ekuiti Asia.

    Pada awal dagangan, Hartalega dan IHH, masing-masing susut lapan sen dan lima sen kepada RM17.90 dan RM5.35.

    Kaunter perbankan, Public Bank turut menyaksikan penurunan sebanyak empat sen kepada RM17.88 manakala kumpulan CIMB dua sen lebih rendah kepada RM3.64.

    Lebih separuh daripada indeks dibuka tanpa diniagakan.

    Dalam kalangan saham paling cergas, kauunter teknologi NETX meningkat setengah sen kepada 1.5 sen, manakala Eduspec dan Vivocom, kedua-duanya kekal pada dua sen dan 3.5 sen tetapi mencatatkan transaksi sebanyak 300 juta.

    Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 14.39 mata kepada 11,368.19, Indeks FBMT 100 susut 12.51 mata kepada 11,213.52 dan Indeks FBM Emas Shariah Iemah 18.63 mata kepada 13,211.57.

    Indeks FBM 70 turun 20.27 mata kepada 14,254.60 dan FBM ACE menokok 31.77 mata kepada 7,940.62.

    Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 8.68 mata kepada 13,505.95, Indeks Perladangan mengukuh 8.03 mata kepada 7,127.87 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.06 mata kepada 141.68. – Bernama



    Sumber

  • Bank Rakyat lantik Ahli Lembaga Pengarah baharu

    Bank Rakyat lantik Ahli Lembaga Pengarah baharu

    BANK Rakyat melantik dua Ahli Lembaga Pengarah baharu iaitu Norhamizah Mat Tahir dan Mohd Jafri Kudus berkuat kuasa 13 Julai lepas.

    Bank Rakyat menjelaskan, pelantikan itu dibuat berdasarkan pengalaman serta kepimpinan mereka dalam bidang keusahawanan dan teknologi yang dijangka memberi nilai tambah bagi memacu bank untuk mencapai hasrat dalam pelan jangka panjang Bank Rakyat 2025.

    “Bank Rakyat mengalu-alukan penyertaan dua Ahli Lembaga Pengarah baharu ini untuk menerajui bank menerusi pengalaman dimiliki bagi meneruskan legasi kecemerlangannya sebagai bank koperasi Islam terbesar di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

    Norhamizah merupakan usahawan wanita yang memegang jawatan Pengarah Urusan di Norhamizah Tahir Associate Sdn Bhd dan Pengarah di DSDM Rezki Sdn Bhd.

    Sementara Mohd Jafri yang berpengalaman luas lebih 30 tahun dalam industri teknologi dan telekomunikasi merupakan Pengarah Eksekutif di Strovi Dox Sdn Bhd serta Perunding Pembangunan Perniagaan di Antah SNC Homeland Security Sdn Bhd.



    Sumber

  • Celcom jalin kerjasama dengan Aerodyne terokai teknologi dron

    Celcom jalin kerjasama dengan Aerodyne terokai teknologi dron

    CELCOM Axiata Berhad (Celcom) dan Aerodyne Group (Aerodyne) berganding bahu meneroka pembangunan penyelesaian pintar menggunakan teknologi dron serta sambungan 5G.

    Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Idham Nawawi berkata, kerjasama tersebut akan membuka peluang untuk membangunkan serta memasarkan penyelesaian yang inovatif sekali gus membolehkan industri di Malaysia mengadaptasi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dengan memfokuskan kepada sektor perbandaran dan pertanian.

    “Cadangan pembangunan penyelesaian inovatif mempunyai potensi untuk membuka laluan kepada Celcom mengembangkan penyelesaian perniagaan kepada perniagaan (B2B) dalam ekosistemnya.

    “Sementara penyelesaian dron sedia ada Aerodyne juga akan dijana oleh Celcom dan akan dikembangkan secara berperingkat kepada pelbagai penyelesaian Aerodyne,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

    Idham berkata, kolaboratif adalah kesinambungan daripada sokongan yang diberikan oleh Axiata Digital Fund (ADIF) melalui pelaburannya ke atas Aerodyne sebelum ini.

    Tambahnya, kerjasama dengan syarikat seperti Aerodyne itu merupakan sebahagian daripada strategi Celcom dalam memberi sokongan digital yang lebih kukuh kepada usahawan rintis digital dan teknologi tempatan.



    Sumber

  • Ringgit dibuka tinggi berbanding Dolar AS

    Ringgit dibuka tinggi berbanding Dolar AS

    RINGGIT meneruskan aliran peningkatannya apabila dibuka tinggi berbanding dolar US hari ini, didorong terutamanya oleh kelemahan mata wang Amerika Syarikat itu serta harga minyak yang stabil, kata penganalisis.

    Pada jam 9 pagi, unit tempatan berakhir pada 4.2500/2560 berbanding dolar AS daripada 4.2505/2545 semalam.

    Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes berkata, ketegangan Washington-Beijing yang meruncing turut meningkatkan lagi risiko yang dihadapi oleh pelabur menjelang pilihan raya presiden Amerika Syarikat tidak lama lagi.

    “Pasaran perlu bersedia untuk menyaksikan lebih banyak perkembangan akan datang, walaupun selepas Presiden Donald Trump tidak lagi berkuasa di Rumah Putih. Malah, kemungkinan Joe Biden mengambil alih pentadbiran juga dijangka tidak akan mengubah hala tuju bagi meredakan hubungan China-Amerika Syarikat,” kata Innes dalam nota penyelidikannya.

    Selain itu, Innes berkata, walaupun dolar AS-renminbi diniagakan pada paras melebihi 7.01, pasaran mata wang berkemungkinan besar menangguhkan penjualan dolar US berikutan pedagang cenderung untuk mencatat keuntungan susulan penyusutan seterusnya.

    Dalam pada itu, minyak mentah Brent yang juga penanda aras global, diniagakan menokok 0.14 peratus kepada AS$44.35 setong, setakat ini.

    Ringgit juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

    Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0670/0716 daripada 3.0692/0725 pada Rabu dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.9660/9724 daripada 3.9721/9769.

    Ringgit bagaimanapun susut berbanding euro kepada 4.9160/9233 daripada 4.9064/9127 semalam dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.4090/4175 daripada 5.3871/3930 sebelum ini. – Bernama



    Sumber

  • CSR serah sumbangan klinik bergerak kepada Nadi

    CSR serah sumbangan klinik bergerak kepada Nadi

    SHAH ALAM – Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR) menyampaikan sumbangan sebuah klinik bergerak (mobile clinic) kepada Institut Diabetes Nasional (Nadi) bagi memudahkan pihak itu menjalankan saringan kesihatan menerusi siri jelajah di seluruh negara.

    CSR sebelum ini banyak menyokong semua aktiviti Nadi khususnya menerusi Program Promote Healthy Lifestyle, Fight Diabetes di kawasan dalam dan luar bandar.

    Ketua Pegawai Operasi CSR, Victor Ng berkata, pihaknya menyerahkan sumbangan klinik bergerak berkenaan bagi menggantikan kenderaan sedia ada milik Nadi yang usang dan berusia lebih 10 tahun.

    Victor Ng

    Victor Ng

    “Menerusi penyerahan ini, Nadi dapat meneruskan siri jelajah mereka untuk membuat saringan kesihatan kepada masyarakat dalam usaha mengawal penyakit diabetes,” katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Penyerahan Klinik Bergerak berkenaan yang berlangsung di Ibu Pejabat CSR di sini semalam.

    Mengulas lanjut, Victor berkata, klinik bergerak berkenaan telah diubah suai dengan beberapa kemudahan dengan kos keseluruhan bernilai sekitar RM300,000.

    Klinik bergerak yang disumbangkan CSR kepada Nadi bagi memudahkan saringan kesihatan dijalankan menerusi siri jelajah di seluruh negara. - FOTO ASRIL ASWANDI ABD SHUKOR

    Klinik bergerak yang disumbangkan CSR kepada Nadi bagi memudahkan saringan kesihatan dijalankan menerusi siri jelajah di seluruh negara. – FOTO ASRIL ASWANDI ABD SHUKOR

    Beliau berkata, CSR dan Nadi telah menjalinkan kerjasama sejak 2018 apabila satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani bagi berkongsi visi dalam mempromosikan kehidupan sihat kepada komuniti.

    “CSR berharap kerjasama ini akan diperluaskan lagi pada masa hadapan dalam membantu mempromosikan kehidupan sihat kepada masyarakat,” kata beliau.



    Sumber

  • RMM pengeluar hasil laut kering terkenal

    RMM pengeluar hasil laut kering terkenal

    Pengeluar hasil laut kering terbesar di Terengganu, Rhu Muda Marketing (RMM) belum bersedia meluaskan perniagaannya hingga ke luar negara walaupun produk keluarannya mendapat permintaan tinggi dalam pasaran.

    Pengusahanya, Aziz M Nor berkata, faktor tenaga kerja dan cuaca adalah sebab utama kenapa syarikat yang berpangkalan di Kampung Rhu Muda, Marang, Terengganu itu selesa memberi tumpuan kepada permintaan pasaran tempatan sahaja.

    “Kita bergantung sepenuhnya kepada cuaca panas untuk menghasilkan produk. Apabila tiba musim tengkujuh iaitu antara November hingga Mac kita terpaksa menghentikan seketika operasi syarikat.

    “Kita juga mengalami kekangan tenaga kerja disebabkan tidak ramai yang mahir memproses hasil laut. Kalau dapat pekerja baharu, kita perlukan masa untuk melatih mereka menjadi pekerja mahir,” katanya kepada Bisnes Sinar.

    Aziz bersama Pengurus Agrobazaar K Shoppe Rhu Muda Marketing, Marang, Terengganu, Zaiton Majid menunjukkan antara produk ikan bilis yang telah siap dikeringkan dan sedia untuk dipasarkan.

    Aziz bersama Pengurus Agrobazaar K Shoppe Rhu Muda Marketing, Marang, Terengganu, Zaiton Majid menunjukkan antara produk ikan bilis yang telah siap dikeringkan dan sedia untuk dipasarkan.

    RMM yang ditubuhkan pada 1974 terkenal dengan produk makanan laut kering terdiri daripada ikan kering, udang kering dan ikan bilis.

    Di samping itu, syarikat berkenaan juga menghasilkan aneka keropok keping sotong, udang, ikan bilis, ketam, ikan tamban dan ikan parang.

    Malah, syarikat berkenaan juga tidak ketinggalan memproses ikan bilis, budu dan belacan untuk dipasarkan di seluruh negeri termasuk Selangor, Pahang dan Johor.

    Kesemua produk yang dihasilkan syarikat berkenaan boleh didapati menerusi Agrobazaar K Shoppe Rhu Muda Marketing, Marang, Terengganu.

    Tradisional

    Biarpun dunia telah menuju ke arah kemodenan, namun RMM masih lagi menggunakan teknik tradisional melibatkan pengukusan, pembungkusan dan penjemuran.

    Aziz berkata, biarpun kaedah tersebut agak rumit dan mengambil masa yang lama namun ia berkeupayaan mengekalkan rasa semula jadi dan kualiti produk dihasilkan.

    “Ia telah menjadi kebiasaan saya dan lapan orang pekerja yang berkhidmat di bahagian pemprosesan hasil laut,” katanya.

    Produk keluaran RMM yang dijual di Agro Bazar K-Shoppe Rhu Muda Marketing di Kampung Rhu Muda, Marang, Terengganu.

    Produk keluaran RMM yang dijual di Agro Bazar K-Shoppe Rhu Muda Marketing di Kampung Rhu Muda, Marang, Terengganu.

    Bagaimanapun, katanya, syarikatnya itu mampu memproses sehingga 15 tan ikan bilis dan udang geragau untuk dijadikan belacan dan menghasilkan satu tan keropok keping dalam tempoh sebulan.

    “Dengan teknik tradisional ini kita dapat menghasilkan produk asli yang berkualiti kerana RMM tidak mencampurkan sebarang bahan asing ke dalam produk dikeluarkan,” katanya yang mengambil alih perniagaan berkenaan daripada kedua orang tuanya pada 1990.

    Meriah

    Berkongsi pengalamannya dalam bidang perniagaan diceburi, lelaki berusia 58 tahun itu berkata, pada 1980-an, industri pemprosesan ikan blis meriah kerana ramai yang mengusahakannya.

    Namun, katanya, industri berkenaan semakin mengecil berikutan tidak diwarisi oleh generasi baharu yang kurang berminat mengusahakannya.

    Proses menjemur keropok keping di RMM di Kampung Rhu Muda, Marang, Terengganu.

    Proses menjemur keropok keping di RMM di Kampung Rhu Muda, Marang, Terengganu.

    “Dulu ada lebih kurang 18 tempat yang memproses ikan bilis, sekarang ini hanya tinggal kira-kira dua buah tempat sahaja yang masih mengusahakannya.

    “Walaupun perniagaan ini menguntungkan, namun generasi muda nampaknya kurang berminat kerana ia bergantung kepada nasib dan musim,” katanya.

    Tambahnya, tidak ramai yang sanggup mengusahakannya kerana kerja memproses ikan bilis itu juga menuntut pengusahanya berpanas di bawah terika matahari, terutamanya ketika menjemur produk dihasilkan.



    Sumber

  • Bubble Bee sasar 100 cawangan tahun ini

    Bubble Bee sasar 100 cawangan tahun ini

    KOTA DAMANSARA – Bubble Bee Sdn Bhd menyasarkan pembukaan lebih 100 cawangan baharu tahun ini.

    Pengasasnya, Shahmira Muhamad atau lebih dikenali Shuib berkata, pihaknya berhasrat mempunyai lebih banyak cawangan untuk tahun ini berikutan sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan.

    Buat masa kini katanya, Bubble Bee mempunyai enam cawangan dan sasaran selepas ini meliputi beberapa negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

    SHUIB

    SHUIB

    “Bila dinyatakan hasrat ini, ramai yang menganggapnya agak mustahil, namun bagi saya, tidak salah untuk menyasarkannya.

    “Insya-ALLAH, ia boleh dicapai dalam tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian selepas hadir Majlis Pembukaan Cawangan Baharu Bubble Bee di The Strand Mall, Kota Damansara di sini hari ini.

    Mengulas lanjut, pelakon dan pelawak itu berkata, perancangan jangka masa hadapan adalah untuk meluaskan empayar Bubble Bee di beberapa negara Asia seperti Brunei, Singapura, Taiwan, Korea dan beberapa negara Asia lain.

    Shuib melayani pelanggan di cawangan Bubble Bee yang keenam di Kota Damansara di sini.

    Shuib melayani pelanggan di cawangan Bubble Bee yang keenam di Kota Damansara di sini.

    “Saya mahu menjadikan produk tempatan ini bukan sahaja dikenali dalam negara malahan di luar negara, membawa nama produk tempatan adalah kebanggaan saya yang utama,” katanya.

    Menurutnya, asas utama minuman yang disajikan di Bubble Bee ini adalah madu tempatan begitu juga dengan ais krim yang turut dicampurkan dengan bahan tersebut, sekali gus membangkitkan rasa enak selain madu itu sendiri yang turut memberi banyak khasiat kepada kesihatan.

    “Alhamdulillah, setakat ini jenama Bubble Bee ini sememangnya mendapat sambutan dan saya harap ia akan terus kekal di hati masyarakat di negara ini.

    “Kepada masyarakat, teruslah beri sokongan kepada jenama ini dan ini merupakan jenama anak Malaysia dan membawa nama negara itu sendiri,” katanya.



    Sumber

  • Penyata TNB jelas dan mudah difahami pengguna

    Penyata TNB jelas dan mudah difahami pengguna

    KUALA LUMPUR – Penyata terperinci caj bil elektrik sejak April yang dikeluarkan bulan ini memberi kefahaman lebih jelas buat pengguna yang sebelum ini berdepan ‘kejutan’ melihat kadar terkumpul yang perlu dibayar.

    Rata-rata mereka berpuas hati dengan pendekatan yang dilakukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang turut memperincikan manfaat Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) diterima bagi bulan April, Mei dan Jun dalam bil tersebut.

    Seorang pemilik kedai dobi, Datin Saraswathy @ Priangaa, 45 berkata, dia belum menerima penyata namun telah melihat contoh penyata tersebut yang disifatkan mampu memberi penjelasan yang mudah difahami.

    Saraswathy gembira contoh penyata dilihatnya mampu memberi penjelasan mengenai caj elektrik yang mudah difahami.

    Saraswathy gembira contoh penyata dilihatnya mampu memberi penjelasan mengenai caj elektrik yang mudah difahami.

    “Penyata terperinci ini sangat bagus kerana daripada penyata ini kita dapat lihat jumlah penggunaan elektrik yang sebenar sejak April.

    “Contohnya seperti saya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semua anak ada di rumah tiga pendingin hawa digunakan. Jadi jumlah caj tinggi sedikit agak munasabah.

    “Dalam masa sama, kita juga dapat diskaun melalui BPE. Setiap orang boleh lihat berapa manfaat yang diperoleh,” katanya ditemui di Kedai Tenaga Kepong di sini baru-baru ini.

    Menurutnya, meskipun tidak menerima BPE dalam jumlah yang besar namun beliau percaya ramai pengguna yang mendapat manfaat daripada insentif itu.

    Sementara itu, bagi ahli perniagaan, Lim Ching Hock, 45, inisiatif TNB menyediakan penyata terperinci wajar dipuji.

    Ching Hock menggunakan aplikasi untuk pembayaran bil elektrik setiap bulan.

    Ching Hock menggunakan aplikasi untuk pembayaran bil elektrik setiap bulan.

    Katanya, pengguna yang tidak faham tentang caj dikenakan perlu mengambil tindakan untuk tampil mendapatkan penjelasan sebenar supaya dapat memahami kaedah digunakan.

    “Saya datang untuk semak penyata sepanjang 2019. Untuk caj elektrik, saya memang bayar secara dalam talian setiap bulan kira-kira RM500 jadi tiada tunggakan.

    “Mungkin ramai yang bayar secara online tapi tak faham apa dibayar. Jadi apabila datang sini dapatkan penjelasan, baru mereka faham.

    “Lebih baik bawa bil dan fahamkan bukannya hanya bising di media sosial. Dalam masa sama, kita juga tahu apa yang kita bayar,” katanya.

    Pada 20 Jun 2020, kerajaan bersama TNB mengumumkan pemberian BPE sebagai pakej bantuan tambahan kepada semua 7.66 juta pelanggan domestik melalui pembiayaan penggunaan elektrik percuma sehingga RM231 untuk tempoh tiga bulan pelaksanaan PKP iaitu April, Mei dan Jun 2020 dan bantuan itu akan dinyatakan dalam bil bacaan sebenar.

    Di samping itu, pengguna domestik yang menggunakan elektrik antara 601 – 900 kWj sebulan akan menikmati diskaun sebanyak 10 peratus iaitu tambahan 8 peratus daripada kadar diskaun sedia ada sebanyak 2 peratus bermula bulan April 2020 hingga Disember 2020.

    Untuk pertanyaan lanjut mengenai bil, hubungi talian TNB CareLine 1-300-88-5454 atau e-mel [email protected] atau kunjungi Kedai Tenaga berhampiran.

    Pak cik saya faham dan dia gembira

    “Apabila saya sudah faham, lebih mudah untuk saya jelaskan kepada pak cik saya tentang bil elektrik di rumahnya,” kata suri rumah, Lee Mee Thing, 35.

    Mee Thing menunjukkan penyata bil elektriknya.

    Mee Thing menunjukkan penyata bil elektriknya.

    Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Beringin itu berkata, selama ini beliau membuat bayaran di pejabat pos berdasarkan bil bulanan yang diterima.

    Bagaimanapun katanya, dengan bil terperinci yang diterima, beliau dapat memahami kaedah pengiraan sebenar.

    “Pak cik saya mahu tahu berapa jumlah yang perlu dibayar. Jadi saya datang untuk fahamkan bil bagi pihaknya.

    “Sekarang saya sudah faham dan boleh beritahu dia. Dia juga sangat gembira bila dapat tahu tentang Bantuan Prihatin Elektrik (BPE),” katanya kepada Sinar Harian.

    Menurutnya, beliau juga tidak terkecuali mendapat manfaat daripada BPE namun menggunakan kelebihan itu untuk bayaran bil elektrik akan datang.

    “Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak elektrik digunakan. Anak-anak juga belajar secara dalam talian. Tapi setiap bulan memang saya akan bayar lebih daripada caj yang dikenakan.

    “Jadi untuk diskaun yang saya terima, saya tidak mahu tuntut wang, tapi akan guna untuk bil berikutnya,” katanya.



    Sumber

  • Optimis catat jualan dua kali ganda

    Optimis catat jualan dua kali ganda

    SANTAN yang juga jenama menu dalam penerbangan AirAsia menyasarkan jualannya akan meningkat dua kali ganda menjelang akhir tahun ini meskipun keadaan ekonomi mencabar.

    Pengurus Besarnya, Catherine Goh berkata, beliau optimis sasaran itu mampu dicapai berikutan kejayaan jualan yang dicatatkan oleh jenama berkenaan dalam tempoh beberapa bulan ia beroperasi di MidValley, Kuala Lumpur selain pelaksanaan pelbagai strategi termasuk menawarkan peluang perniagaan francais kepada pengusaha industri makanan dan minuman.

    “Dengan pakej francais yang kompetitif, pengusaha tempatan boleh memanfaatkan peluang pelaburan yang disokong oleh AirAsia dan rakan kongsinya.

    “Santan akan memberikan sokongan dan latihan berterusan untuk semua pengusaha francais mulai suku keempat tahun ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media pembukaan cawangan kedua Santan di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor semalam.

    Catherine menunjukkan dua menu istimewa iaitu Nasi Lemak Pak Nasser dan gado-gado.

    Catherine menunjukkan dua menu istimewa iaitu Nasi Lemak Pak Nasser dan gado-gado.

    Dalam pada itu, Catherine berkata, Santan merancang membuka 15 cawangan francais baharu di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak.

    Tambahnya, pihaknya juga akan bekerjasama dengan jenama penghantar makanan popular serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengukuhkan kedudukannya dalam perniagaan makanan dan minuman diceburi.

    “Pengembangan jenama Santan ini diharapkan dapat mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk membantu bekas kakitangan industri penerbangan,” katanya.

    Mengulas mengenai pembukaan cawangan barunya, Catherine berkata, pihaknya memilih Sunway Pyramid kerana lokasi berkenaan strategik untuk perniagaan makanan dan minuman.

    “Hampir satu pertiga pesanan dalam talian di cawangan Mid Valley adalah dari Petaling Jaya dan kawasan sekitarnya seperti Puchong dan Subang.

    “Oleh yang demikian ia telah membuatkan Santan memilih Sunway Pyramid sebagai lokasi seterusnya,” katanya.

    Santan menawarkan menu hidangan panas dan sejuk yang siap dimakan seperti Nasi Lemak Pak Nasser, Nasi Padang dengan Rendang Daging dan Gado-gado.



    Sumber

  • Mage minyak wangi mampu milik

    Mage minyak wangi mampu milik

    KAMA Empire Sdn Bhd yakin produk minyak wangi jenama Mage yang dihasilkan mampu mencipta jualan sehingga RM100,000 setahun.

    Pengasasnya, Nor Azwa Anwar berkata, keyakinan berkenaan didorong sambutan yang menggalakkan berikutan harga ditawarkan berpatutan.

    “Harga ditawarkan hanya RM39 dan sesiapa boleh memiliki minyak wangi Mage yang disasarkan kepada semua lapisan masyarakat, terutamanya golongan pertengahan.

    “Lagipun minyak wangi ini mempunyai bau yang mempesona dan berbeza dengan haruman lain,” katanya kepada Bisnes Sinar.

    Wanita berusia 27 tahun itu berkata, setakat ini syarikatnya itu memiliki lima ejen utama termasuk di Sabah, Sarawak dan Brunei yang membantu memasarkan produk Mage.

    “Saya juga mengalu-alukan individu yang ingin menjana pendapatan untuk menjadi ejen jualan Mage.

    “Mereka boleh menjana pendapatan dengan hanya menjual produk Mage mengikut syarat yang ditetapkan dan menikmati komisen ditawarkan dengan mudah tanpa sebarang modal,” katanya.

    Mage yang dikeluarkan pada Januari lalu adalah hasil minat mendalam Nor Azwa terhadap bau-bauan.

    Kolaboratif artis

    Ia dihasilkan secara kolaboratif dengan artis yang juga penyanyi terkenal iaitu Hazama dan isterinya, Genervie Kam.

    Bagaimanapun, Nor Azwa adalah individu yang bertanggungjawab menghasilkan haruman Mage.

    “Semua bau minyak wangi keluaran Mage adalah hasil bancuhan tangan saya dan ia kemudiannya dipilih secara bersama dengan Hazama dan Genervie.

    Nor Azwa (kiri) berkolaboratif dengan Hazama dan Genervie untuk menghasilkan Mage.

    Nor Azwa (kiri) berkolaboratif dengan Hazama dan Genervie untuk menghasilkan Mage.

    “Pengalaman lima tahun bekerja dalam bidang pembuatan minyak wangi banyak membantu saya mencipta bau yang diminati dan mempunyai permintaan di pasaran,” katanya.

    Justeru, beliau berharap produk dihasilkan di makmalnya di Seremban 2, Negeri Sembilan itu diterima baik dalam pasaran.

    Nor Azwa berkata, Mage berbeza dengan minyak wangi lain yang berada dalam pasaran.

    Bentuknya elegan, boleh digunakan pada bila-bila masa dan mudah untuk dibawa ke mana-mana.

    Guna berus

    Lebih menarik, produk dengan isi kandungan sebanyak empat mililiter itu menggunakan berus dan bukan penyembur.

    Minyak wangi Mage tampil berbeza kerana menggunakan berus.

    Minyak wangi Mage tampil berbeza kerana menggunakan berus.

    Walaupun inovasi berkenaan bukan lagi baharu di luar negara namun ia merupakan yang pertama di Malaysia.

    “Apabila menggunakan berus, wangian yang kita pakai akan lebih menyerlah baunya.

    “Hanya calit sedikit di bahagian lengan dan leher, ia akan mendatangkan haruman sepanjang hari di badan,” katanya.

    Di samping, beliau berkata, keunikan Mage juga terletak pada baunya yang mempunyai karakter tersendiri.

    “Bagi mereka yang aktif bersukan kita ada baunya, begitu juga dengan mereka yang berusia.

    “Saya yakin sesiapa yang mencubanya pasti akan tertarik kerana baunya eksklusif,” katanya.

    Nor Azwa menunjukkan wangian yang dihasilkan menggunakan kepakarannya di makmalnya di Seremban 2, Negeri Sembilan.

    Nor Azwa menunjukkan wangian yang dihasilkan menggunakan kepakarannya di makmalnya di Seremban 2, Negeri Sembilan.

    Paling penting, Nor Azwa berkata, haruman Mage mampu bertahan sehingga 24 jam, bergantung kepada individu dan persekitaran.

    Produk Mage boleh didapati secara dalam talian atau di premis jualannya di Pusat Komersial Oakland di Seremban.

    Minyak wangi berkenaan mempunyai 10 variasi haruman yang mana lima untuk lelaki dan lima untuk wanita.

    Setiap satu variasi berkenaan dikeluarkan sebanyak 1,000 unit.



    Sumber