Paduka Cik Siti: Teater Muzikal Mengangkat Keberanian dan Cinta Raja Wanita Melayu

Persembahan Teater Muzikal “Paduka Cik Siti” membawa penonton menyelami kisah luar biasa seorang Raja wanita Melayu yang bangkit mempertahankan maruah, keberanian dan cintanya dalam sebuah pementasan penuh irama, warna serta emosi. Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dengan kerjasama Persatuan Alumni ASWARA kembali mempersembahkan sebuah naskhah muzikal baharu bertajuk Teater Muzikal Paduka Cik Siti, yang dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 21 Disember 2025 di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya.

Teater muzikal ini mengetengahkan kisah megah mengenai ketokohan serta keberanian seorang Raja wanita Melayu yang berdepan tekanan sosial, politik dan percintaan pada era pemerintahannya. Pementasan ini diperkaya dengan gabungan lakonan, muzik, tarian dan visual pentas yang memukau, menjadikannya sebuah persembahan yang sarat dengan emosi dan naratif yang menyentuh jiwa. Dengan barisan pelakon berbakat, rekaan pentas berskala besar dan pengarahan bertenaga, produksi ini turut menghimpunkan kolaborasi alumni, pensyarah dan pelajar ASWARA dalam satu karya yang menggabungkan kekuatan seni persembahan.

Muzikal Paduka Cik Siti mengisahkan Cik Siti Wan Kembang, satu-satunya pewaris takhta Tanah Serendah Sekebun Bunga yang terpaksa menggantikan pemerintahan ayahanda saudaranya, Almarhum Raja Husein, di samping memenuhi amanah almarhum ayahandanya, Raja Ahmad. Baginda menolak pinangan raja-raja dari seluruh negeri yang ingin menyuntingnya, namun tetap teguh memikul amanah sebagai Paduka Raja demi negeri tercinta. Sebagai seorang Raja wanita, baginda berhadapan cabaran besar termasuk persoalan kewibawaannya oleh para pembesar, ancaman dari Siam, serta kesepian yang meragut hatinya akibat cinta yang tidak terucap. Demi negeri, segala dugaan ditangani dengan bijaksana, menjadikan kisah Paduka Cik Siti bukan hanya tentang kepimpinan seorang wanita, tetapi juga pengorbanan terhadap kehendak hati dan perasaan.

Teater muzikal ini merupakan idea asal dan arahan Che Kem, dengan skrip tulisan Roziah Adama dan Khairunazwan Rodzy, serta lirik oleh Dr. Hairul Anuar Harun. Barisan pelakon utama terdiri daripada Asmidar, Taqim Zaki, Dr. Norzizi Zulkifli, Shahrul Mizad, Nesa Idrus, Serra Kamal, Zizi Hazirah dan ramai lagi, menjanjikan sebuah persembahan berskala besar dan berimpak tinggi. Tiket kini dijual melalui laman web CloudJoi pada harga antara RM40.00 hingga RM150.00.

Untuk maklumat lanjut atau perkembangan terkini mengenai pementasan ini, orang ramai boleh mengikuti laman media sosial rasmi ASWARA dan Persatuan Alumni ASWARA melalui Instagram @aswara.official dan @persatuan_alumni_aswara, TikTok @aswara.official dan @persatuanalumniaswara, atau Facebook rasmi ASWARA.