SANTAN yang juga jenama menu dalam penerbangan AirAsia menyasarkan jualannya akan meningkat dua kali ganda menjelang akhir tahun ini meskipun keadaan ekonomi mencabar.
Pengurus Besarnya, Catherine Goh berkata, beliau optimis sasaran itu mampu dicapai berikutan kejayaan jualan yang dicatatkan oleh jenama berkenaan dalam tempoh beberapa bulan ia beroperasi di MidValley, Kuala Lumpur selain pelaksanaan pelbagai strategi termasuk menawarkan peluang perniagaan francais kepada pengusaha industri makanan dan minuman.
“Dengan pakej francais yang kompetitif, pengusaha tempatan boleh memanfaatkan peluang pelaburan yang disokong oleh AirAsia dan rakan kongsinya.
“Santan akan memberikan sokongan dan latihan berterusan untuk semua pengusaha francais mulai suku keempat tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pembukaan cawangan kedua Santan di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor semalam.
Dalam pada itu, Catherine berkata, Santan merancang membuka 15 cawangan francais baharu di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak.
Tambahnya, pihaknya juga akan bekerjasama dengan jenama penghantar makanan popular serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengukuhkan kedudukannya dalam perniagaan makanan dan minuman diceburi.
“Pengembangan jenama Santan ini diharapkan dapat mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk membantu bekas kakitangan industri penerbangan,” katanya.
Mengulas mengenai pembukaan cawangan barunya, Catherine berkata, pihaknya memilih Sunway Pyramid kerana lokasi berkenaan strategik untuk perniagaan makanan dan minuman.
“Hampir satu pertiga pesanan dalam talian di cawangan Mid Valley adalah dari Petaling Jaya dan kawasan sekitarnya seperti Puchong dan Subang.
“Oleh yang demikian ia telah membuatkan Santan memilih Sunway Pyramid sebagai lokasi seterusnya,” katanya.
Santan menawarkan menu hidangan panas dan sejuk yang siap dimakan seperti Nasi Lemak Pak Nasser, Nasi Padang dengan Rendang Daging dan Gado-gado.