Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tengku Mahmud, Besut Terengganu (TMESA) dengan rasa bangga bakal menganjurkan satu program amal bertemakan ‘Night Of Love & Compassion’ sebagai usaha untuk mengumpul dana bagi membantu pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik.
Acara ini akan menggabungkan dua ikon muzik tersohor tanah air, Datuk Hattan dan Datuk Jamal Abdillah, yang dijangka mempersembahkan rangkaian lagu-lagu klasik mereka dalam persembahan yang sarat dengan emosi dan nostalgia.
Majlis makan malam amal ini akan diadakan pada 14 Disember 2024 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.
Presiden TMESA, Dato’ Muhammad Nasir Hamzah, menekankan bahawa persatuan ini sangat prihatin terhadap kebajikan pelajar-pelajar yang memerlukan, khususnya di Besut.
“TMESA sentiasa aktif dengan pelbagai inisiatif setiap tahun demi kelangsungan persatuan, dengan tumpuan utama adalah membantu anak-anak sekolah di kawasan Besut, terutama Sekolah Tengku Mahmud. Setelah lebih 20 tahun beroperasi, sumber kewangan kami mulai terhad kerana persatuan ini dianggotai oleh ramai ahli yang telah bersara. Justeru itu, kami memutuskan untuk mengadakan acara Night Of Love & Compassion bagi mengumpul dana,” ujar Dato’ Muhammad Nasir.
Beliau turut menyatakan bahawa salah satu program terpenting yang dianjurkan TMESA adalah program ‘Sponsor A Student’ (SAS) yang sudah membantu lebih daripada 1,000 pelajar dari latar belakang keluarga miskin.
“Program SAS adalah usaha terbesar kami dan telah berlangsung selama 16 tahun. Melalui program ini, lebih 1,000 pelajar kurang berkemampuan telah menerima bantuan. Kami sendiri menemu duga pelajar-pelajar ini, ada di antara mereka yang hanya dapat menikmati makanan nasi tiga kali seminggu, namun mereka tetap bersemangat untuk meneruskan pelajaran. Ramai yang bercita-cita menjadi doktor, peguam, guru, dan ustaz.
“Kami mensasarkan kutipan sebanyak RM1 juta dari acara makan malam ini, dan dana tersebut akan digunakan bukan sahaja untuk membantu pelajar, tetapi juga untuk memperbaiki kemudahan di sekolah-sekolah,” tambahnya lagi.
Datuk Jamal Abdillah, salah seorang penyanyi yang akan membuat persembahan pada malam tersebut, meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang untuk menyumbang kepada usaha murni ini.
“Bakat yang Allah kurniakan ini, meskipun kecil, adalah cara saya untuk membantu orang yang memerlukan, terutama pelajar-pelajar yang tidak bernasib baik. Saya berharap suara saya dapat menarik lebih ramai orang untuk turut menyokong usaha ini,” kata Datuk Jamal dengan penuh rendah diri.
Sementara itu, Datuk Hattan turut berkongsi kegembiraannya dapat terlibat dalam acara ini, yang baginya adalah satu tanggungjawab sosial yang sering dia lakukan sepanjang kariernya.
“Saya sentiasa menyokong inisiatif amal seperti ini. Sejak awal pembabitan dalam dunia seni, saya telah berjanji untuk sentiasa memberi sokongan kepada sekolah-sekolah yang memerlukan, kerana saya juga pernah merasai kesusahan di zaman sekolah dahulu,” kata Datuk Hattan dengan penuh keikhlasan.
Acara ini menawarkan 98 meja dengan harga bermula seperti berikut:
- Bronze – RM4,000 (20 meja)
- Silver – RM6,000 (20 meja)
- Gold – RM8,000 (16 meja)
- Diamond – RM10,000 (16 meja)
- Platinum – RM15,000 (16 meja)
Bagi yang berminat untuk menempah meja atau mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubungi:
- En. Hatta di 018 223 9934
- En. Nik Ahmad di 019 452 4567