Nadeera Bawa Harapan Malaysia ke Acara Antarabangsa ABU Song Festival 2025

Bakat nyanyian Nadeera yang semakin menyerlah di pentas seni tanah air sekali lagi mendapat pengiktirafan apabila beliau terpilih mewakili Malaysia ke ABU Song Festival 2025. Pemilihan yang dibuat oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) ini membuka satu lagi lembaran berharga dalam perjalanan kariernya. Festival berprestij itu akan berlangsung pada 13 September 2025 di Tsonjin Boldog, Mongolia. Keputusan tersebut turut menjadi bukti keyakinan RTM terhadap mutu vokal dan daya tarikan artis yang bernaung di bawah Rocketfuel Entertainment ini.

Di acara tersebut, Nadeera akan mempersembahkan lagu popularnya Bukan Lagi Kita, sebuah karya yang melonjakkan namanya sebagai antara penyanyi vokal terbaik masa kini. Persembahan itu dijangka memperkenalkan muzik Malaysia kepada audiens antarabangsa. Nadeera menzahirkan rasa syukur atas penghormatan besar ini dan berhasrat menyampaikan nyanyiannya dengan penuh penghayatan sebagai tanda penghargaan buat para peminat. Beliau turut menekankan bahawa di pentas berkenaan, dirinya membawa imej dan maruah seluruh rakyat Malaysia dan berazam menampilkan persembahan terbaik.

Walaupun pernah membuat persembahan di luar negara sebelum ini termasuk di Vietnam dan Indonesia, peluang yang diterimanya kali ini lebih istimewa kerana melibatkan festival bertaraf antarabangsa yang menghimpunkan artis-artis terkenal dari seluruh Asia. Nadeera meluahkan rasa bangga kerana dapat menjadi wakil negara dan berharap persembahannya mampu memberi impak positif serta mengharumkan nama Malaysia. Beliau tidak lupa menyampaikan penghargaan kepada RTM, Rocketfuel Entertainment, pasukan produksi, pemuzik serta para peminat atas sokongan yang berterusan, sambil memohon doa agar perjalanan ke Mongolia dipermudahkan.

Pihak Rocketfuel Entertainment dalam kenyataan rasmi turut meluahkan rasa bangga dengan kejayaan ini. Mereka menyifatkan pemilihan Nadeera sebagai pengiktirafan terhadap komitmen, bakat serta keupayaan luar biasa yang ditunjukkannya sepanjang kerjaya. Pihak pengurusan yakin Nadeera mampu menyerlah di festival berprestij tersebut sekaligus membuka lebih banyak ruang untuk kerjasama antarabangsa pada masa akan datang.

ABU Song Festival ialah acara gala tahunan anjuran Asia Pacific Broadcasting Union (ABU) yang menampilkan persembahan artis dari pelbagai negara anggota. Acara ini bukan pertandingan, sebaliknya merupakan platform untuk mengetengahkan karya seni muzik ke khalayak lebih luas. Persembahan yang dipersembahkan secara langsung turut dirakam bagi membolehkan stesen penyiar di negara masing-masing menyiarkan semula dengan tambahan sari kata dalam bahasa tempatan.