Filem bergenre seram terus menjadi pilihan utama penonton tempatan apabila kebanyakan naskhah sebegitu sering menerima sambutan hangat di pawagam. Tahun ini, sebuah lagi karya menyeramkan hasil terbitan Yusrych Global Sdn. Bhd berjudul Munajjim: Sekutu Iblis bakal tampil dengan kelainan tersendiri. Menurut penerbitnya, Yusry Makmor, filem tersebut tidak sekadar menghidangkan elemen menakutkan tetapi turut mengetengahkan isu syirik dan amalan ilmu hitam yang masih berakar dalam masyarakat moden. Beliau menegaskan kisah ini diinspirasikan daripada peristiwa sebenar yang mendedahkan bagaimana ada segelintir individu memilih untuk mencari jalan mudah dengan mendapatkan khidmat bomoh. Katanya, mesej utama yang dibawa adalah memberi kesedaran bahawa perbuatan syirik hanya membawa mudarat kerana ia merupakan amalan yang jelas haram serta bersekutu dengan iblis.
Munajjim: Sekutu Iblis memaparkan perjalanan sebuah keluarga yang terlalu percaya dengan bomoh hingga menjerumuskan diri mereka ke kancah kesesatan. Berbeza dengan kebiasaan filem seram tempatan, kisah ini memperlihatkan makhluk pendamping dalam bentuk jin dan hantu yang menjelma bagi menyesatkan akidah manusia. Barisan pelakon ternama seperti Farid Kamil, Uqasha Senrose, Che Puan Juliana Evans, Mustaqim Bahadon, Sherrie Merlis dan pelakon cilik Daniel Aqil turut menghidupkan cerita ini. Penggambaran berlangsung pada Januari 2025 di beberapa lokasi sekitar Selangor dengan idea asal daripada Yusry Makmor bersama Zafran Aziz dan Rozita Mat Isa.

Pengarah Faizul A. Rashid menyatakan naskhah ini tidak mahu mengikut formula seram klise seperti kemunculan pontianak atau pocong. Sebaliknya, Munajjim: Sekutu Iblis berusaha menampilkan keseraman yang lebih realistik dengan gabungan elemen sinematik yang kuat dan mesej yang mendalam. Menurutnya, selain menawarkan pengalaman menonton yang penuh debaran, filem ini juga mampu membuka mata penonton tentang realiti khurafat yang masih membelenggu masyarakat hari ini.
Dengan kerjasama TGV, edaran antarabangsa D’Ayu Pictures serta sokongan promosi Empire Solutions, Munajjim: Sekutu Iblis dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 31 Julai 2025.