Seiring dengan tayangan Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) yang kini mencetuskan fenomena di pawagam seluruh negara, pihak WAU Animation ingin menzahirkan penghargaan terhadap sokongan luar biasa daripada peminat yang telah membanjiri pawagam sejak hari pertama tayangan. Namun begitu, dalam keghairahan meraikan detik-detik penting dalam filem ini, terdapat segelintir pihak yang didapati berkongsi spoiler dan rakaman video tanpa kebenaran di media sosial.
Tindakan sedemikian bukan sahaja menjejaskan keterujaan penonton lain, tetapi juga melanggar etika tontonan serta hak cipta karya filem. Bagi mereka yang masih menantikan peluang menyaksikan jalan cerita penuh di layar perak, pendedahan awal ini boleh merosakkan pengalaman menonton yang telah dinanti-nantikan. Perbuatan menyebarkan spoiler dan rakaman tidak sah juga memberi impak negatif kepada usaha gigih para karyawan yang bertungkus lumus menghasilkan karya berkualiti untuk tatapan semua.
Sebagai langkah proaktif dan bertanggungjawab, pihak produksi telah melancarkan inisiatif Misi: Banteras Spoiler, satu kempen kesedaran digital yang menyeru seluruh komuniti peminat untuk turut memainkan peranan dalam menjaga integriti penceritaan filem ini. Melalui kempen ini, orang ramai digalakkan untuk melaporkan sebarang kandungan spoiler atau rakaman haram yang dikesan di platform media sosial.
“Kami percaya setiap penonton berhak menikmati filem ini tanpa gangguan atau pendedahan awal terhadap plot dan kejutan yang telah dirancang dengan teliti. Oleh itu, kami menyeru seluruh peminat Ejen Ali untuk menjadi sebahagian daripada Misi: Banteras Spoiler bukan sahaja demi menghormati karya ini, tetapi juga demi menjaga keistimewaan pengalaman menonton buat semua,” ujar pihak WAU Animation.
Orang ramai boleh memainkan peranan mereka dengan menekan butang “report” pada kandungan spoiler yang tular, memberi teguran secara sopan kepada individu yang terlibat, dan menyebarkan mesej kesedaran melalui akaun media sosial masing-masing. Pihak WAU Animation turut bekerjasama rapat dengan platform-platform digital untuk memastikan kandungan yang melanggar hak cipta dapat diturunkan segera.
Dalam semangat komuniti dan kasih sayang terhadap Ejen Ali, para peminat diingatkan bahawa sokongan terbaik bukan sekadar menonton filem di pawagam, tetapi juga dengan melindungi pengalaman tontonan bagi penonton lain yang masih belum berpeluang menikmatinya. Sama-sama kita jadikan Ejen Ali The Movie 2 satu kenangan sinematik yang bebas spoiler, penuh kejutan, dan dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini, ikuti akaun rasmi Ejen Ali di Instagram, Facebook dan TikTok. Gunakan hashtag #BanterasSpoilerEATM2 bagi menunjukkan sokongan anda kepada misi ini.