Langkah berani diambil oleh penyanyi dan pencipta kandungan, Mindy Sabrina, apabila beliau melancarkan single sulungnya bertajuk “SHE DEVIL” yang menampilkan transformasi drastik dalam kerjaya seninya. Jika sebelum ini peminat mengenali beliau menerusi irama Jazz dan City Pop, kali ini Mindy tampil dengan identiti visual dan muzik yang lebih teaterikal serta misteri, sekali gus merombak imejnya kepada persona yang lebih matang dan berani.
Lagu ini merupakan sebuah naratif tentang pemerkasaan wanita yang diangkat daripada inspirasi sastera romantik gelap dan elemen filem klasik. Melalui “SHE DEVIL”, Mindy cuba menterjemahkan perspektif seorang wanita yang sering dianggap sebagai penggoda untuk menguasai naratif tersebut dan menjadikannya sebagai simbol kekuatan diri.

Beliau menekankan bahawa karya ini adalah satu pengisytiharan tentang kejujuran dalam keinginan dan kebebasan untuk memilih jalan sendiri tanpa rasa takut.
Dari sudut produksi, Mindy bekerjasama dengan penerbit JVSAN untuk meneroka bunyi yang lebih berat dan atmosfera, jauh daripada zon selesa mereka sebelum ini. Kerjasama organik ini turut diperhebatkan dengan petikan gitar elektrik oleh Mas Adi serta sisipan suara latar oleh Billy bagi menghidupkan suasana penceritaan yang lebih dramatik.
Walaupun menggunakan pendekatan yang sangat intuitif dalam studio, kualiti audio yang dihasilkan berjaya memberikan kesan yang megah dan mendalam kepada pendengar.

Bagi melengkapkan karya ini, sebuah muzik video bertemakan estetika sinema tahun 80-an telah dihasilkan dengan kerjasama pengarah video, Yusuf.
Visual yang menggunakan rona merah pekat dan tekstur filem lama ini merujuk kepada pementasan teater klasik, termasuk penggunaan prop pedang asli dan tarian simbolik yang memperkukuh konsep “Dark Femininity”. Dengan pelancaran single ini, Mindy kini sedang giat menyiapkan material untuk album penuhnya yang akan datang, sementara “SHE DEVIL” sudah mula boleh dinikmati di semua platform penstriman digital utama.
