KUALA LUMPUR, 18 Julai 2026 — Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) Ke-9 secara rasmi membuka tirai di MyTOWN Shopping Centre, Kuala Lumpur, dengan menghimpunkan pembikin filem, peneraju industri, personaliti terkenal serta pencinta seni sinema dari Malaysia dan seluruh dunia. Berlangsung selama lapan hari dari 18 hingga 25 Julai 2026, festival tahun ini bertemakan “Resonance”, yang mengangkat idea tentang bagaimana sesebuah cerita mampu meninggalkan kesan mendalam kepada penonton dan terus bergema jauh selepas tayangan berakhir.

Malam pembukaan MIFFest Ke-9 berlangsung meriah dengan acara karpet merah yang menyaksikan kehadiran tetamu kehormat, barisan pembikin filem dan selebriti tempatan serta antarabangsa. Antara yang hadir ialah penerbit eksekutif Shafiq Yusof, pengarah Ariff Zulkarnain, pelakon terkenal Malaysia Syafiq Kyle dan pelakon Kemboja, Sarita Reth. Turut memeriahkan acara ialah Jojo Goh, pelakon dan pengarah Nam Ron, pelakon June Lojong serta pelbagai penggiat industri dan tetamu festival dari dalam dan luar negara.

Majlis pembukaan dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Joanne Goh, Pengasas dan Presiden MIFFest, bersama Duta MIFFest tahun ini, Bront Palarae, Daiyan Trisha dan Jack Tan. Dalam ucapannya, Joanne menjelaskan bahawa tema “Resonance” dipilih bagi menggambarkan gema emosi yang kekal selepas sesebuah filem berakhir, termasuk perbualan yang tercetus, empati yang terbina serta hubungan yang terjalin merentasi budaya, generasi dan sempadan.

Beliau turut menekankan bahawa kekuatan sesebuah filem tidak hanya terletak pada penghujung ceritanya, sebaliknya pada kesan yang ditinggalkan kepada penonton. Melalui penceritaan yang mampu menyentuh emosi dan membuka ruang kepada perbincangan, filem mempunyai kuasa untuk membina hubungan bermakna serta menghubungkan manusia daripada latar belakang yang berbeza.

Majlis turut menerima sokongan daripada Tourism Malaysia menerusi kehadiran YBhg. Datuk Manoharan Periasamy, Pengerusi Tourism Malaysia, yang menegaskan kepentingan MIFFest dalam memperkukuh industri kreatif tempatan, menggalakkan diplomasi budaya dan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam landskap sinema antarabangsa. Turut hadir ialah YBhg. Datuk Bahria Mohd Tamil, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik & Industri Kreatif), Kementerian Komunikasi, serta Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, bersama tetamu kehormat dan penggiat industri perfileman.

Salah satu detik paling bermakna pada malam tersebut ialah apabila MIFFest menerima pengiktirafan rasmi daripada ASEAN Records. Pengiktirafan itu diberikan sebagai penghargaan terhadap usaha perintis MIFFest dalam membangunkan platform serantau yang berterusan untuk mempromosikan sinema Asia Tenggara menerusi program ASEAN On Screen, selain penganjuran tahunan Malaysia Golden Global Awards (MGGA).

ASEAN On Screen, yang dilancarkan sempena Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025, kini berkembang menjadi program tahunan tetap MIFFest. Inisiatif ini mengukuhkan peranan Malaysia sebagai salah satu hab serantau bagi sinema Asia Tenggara melalui tayangan filem terpilih, forum industri dan kerjasama rentas sempadan, sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada karya dan suara dari rantau ini untuk dikenali di peringkat antarabangsa.

Kemuncak seterusnya ialah tayangan perdana dunia filem pembukaan, BAGA: Tomorrow Belongs To No One, yang diarahkan oleh Ariff Zulkarnain. Berlatarbelakangkan sebuah perkampungan pesisir pantai yang konservatif di Pantai Timur Malaysia, filem ini mengisahkan Jani dan Melur, dua anak muda yang berusaha mengejar impian untuk membina kehidupan lebih baik, namun terpaksa berdepan dengan kehamilan tidak dirancang, kemiskinan, ketagihan dadah dan tekanan hidup.

Apabila keadaan semakin terdesak, Jani terjebak dalam kegiatan pengedaran dadah, menyebabkan mereka berdepan dengan pilihan sukar demi meneruskan kehidupan. Diilhamkan daripada pengalaman hidup pengarah sendiri, BAGA merupakan sebuah karya peribadi yang mengetengahkan kisah golongan yang sering terpinggir, sambil meneroka tema cinta, ketabahan, penebusan dan harapan.

Penceritaan jujur dan gambaran realiti masyarakat yang dipaparkan dalam BAGA dilihat selari dengan tema “Resonance” MIFFest tahun ini. Filem tersebut menggambarkan bagaimana kisah yang dekat dengan kehidupan manusia mampu meninggalkan kesan emosi yang mendalam dan terus bergema dalam diri penonton selepas tayangan berakhir.

Memasuki edisi kesembilan, MIFFest turut memperluaskan pengalaman sinematik menerusi pelbagai program antarabangsa yang meraikan kepelbagaian budaya dan suara dari seluruh dunia. Antara tarikan utama ialah Russian Film Week yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan Persekutuan Rusia, ROSKINO dan Mosfilm, yang menawarkan tayangan percuma empat filem Rusia yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Selain itu, program ASEAN On Screen, Hong Kong Cinema in Flux, New Rhythms of Indian Cinema dan Open Air Cinema turut melengkapkan pengisian festival. MIFFest juga menganjurkan kelas induk, forum industri serta pelbagai program antarabangsa yang bertujuan menggalakkan pertukaran budaya, perkongsian ilmu dan kerjasama dalam industri perfileman global.

Tiket MIFFest Ke-9 kini boleh didapati melalui laman sesawang GSC, aplikasi GSC Mobile App dan kiosk GSC di GSC MyTOWN dengan harga RM15 bagi setiap tayangan. Pengunjung turut berpeluang menikmati diskaun 15 peratus bagi pembelian makanan dan minuman terpilih, tertakluk kepada terma dan syarat.

Dengan tema “Resonance”, MIFFest Ke-9 bukan sekadar meraikan karya filem dari pelbagai negara, malah mengangkat kuasa penceritaan dalam menyatukan manusia, merentasi budaya dan sempadan. Dari 18 hingga 25 Julai 2026, festival ini mengajak penonton untuk menyaksikan kisah-kisah yang menginspirasikan, menghubungkan dan meninggalkan kesan yang berkekalan, selaras dengan semangat “Come See A Film, Come See The World”.