Kuala Lumpur, 20 Februari 2026 – Menjelang sambutan Aidilfitri 2026, lagu raya baharu berjudul Meriah Hari Raya hadir menceriakan suasana dengan gabungan lima penyanyi muda berbakat iaitu Azzam Sham, Sheryl Shazwanie, Ikmal Dani, Nana Tony dan Kasih Lia. Lagu ini menampilkan elemen pop moden dengan suntikan ceria yang membangkitkan semangat perayaan, sekali gus menjadikannya antara lagu raya yang dinanti-nantikan tahun ini.
Dicipta dan ditulis oleh Dearlynns di bawah Myoozikwav Entertainment serta diterbitkan oleh Luncai Emas, Meriah Hari Raya menggabungkan melodi catchy dengan lirik santai yang mudah diingati. Menurut Dearlynns, lagu ini dihasilkan bagi membawa nafas baharu dalam genre lagu raya tanpa mengetepikan nilai tradisi dan kebersamaan yang menjadi tunjang Aidilfitri.
Dengan rentak upbeat dan susunan vokal yang segar, lagu ini sesuai dijadikan runut bunyi sepanjang musim perayaan, daripada persiapan pulang ke kampung hingga ke suasana rumah terbuka. Video muzik rasmi yang dirakam di Terengganu turut menambah daya tarikan visual dan boleh ditonton di YouTube bermula 20 Februari 2026.