Menteri wanita terajui kabinet Finland

Menteri wanita terajui kabinet Finland

PELANTIKAN Sanna Mirella Marin, ibu kepada seorang cahaya mata sebagai Perdana Menteri Finland pada awal bulan Disember 2019 mencipta evolusi baharu dalam pentadbiran negara tersebut.

Wanita berusia 34 tahun tersebut disifatkan perdana menteri paling muda di dunia, sekali gus memadamkan rekod yang selama ini disandang oleh Perdana Menteri New Zealand, Jacinta Adern yang ketika dilantik berusia 39 tahun.

Pemilihan graduan ijazah Sarjana Sains Pentadbiran dari Universiti Tampere itu dilakukan selepas Parti Demokratik Sosial Finland (SDP) membentuk kerajaan gabungan yang terdiri daripada Parti Demokrat Sosial, Parti Tengah, Parti Hijau, Parti Perikatan Kiri dan Parti Rakyat Sweden.

Difahamkan, peralihan kuasa yang unik itu berlaku dek pergolakan politik daripada kegagalan kerajaan terdahulu mengendalikan mogok pekerja pos.

Pada masa sama, ia susulan peletakan jawatan Perdana Menteri sebelum ini, Antti Rinne selepas rakan kongsi utama gabungan menarik balik sokongan gara-gara hilang kepercayaan terhadap beliau.

Dalam pentadbiran sebelum ini, Marin memegang jawatan sebagai Menteri Pengangkutan dan Komunikasi Finland dan Pengerusi Majlis Perbandaran Tampere (2013 hingga 2017), bandar kedua terbesar di negara tersebut.

Kumpulan Feminis di seluruh negara rata-ratanya memuji dan menzahirkan keterujaan dengan pelantikan Marin. Situasi tersebut secara tidak langsung membuktikan bahawa wanita bukan sahaja mahir menguruskan rumah tangga, bahkan berkebolehan memimpin sebuah negara yang besar.

Kehadiran beliau menduduki jawatan teratas negara turut memberi inspirasi dan sinar baharu kepada rakyat berikutan manifestasi Marin yang menjanjikan lebih banyak perubahan dan penyelesaian secara inovatif dari semasa ke semasa. Persepsi segelintir pihak yang mempertikaikan kebolehan wanita sebagai ‘ketua’ di negara yang mempunyai seramai 5.4 juta penduduk itu sedikitpun tidak melemahkan semangatnya.

Propaganda sekelompok media yang bermain dengan isu seksis dijadikan kekuatan demi melunaskan tanggungjawab diamanahkan. Lagipun, bukan perkara mengejutkan apabila jawatan perdana menteri itu milik wanita memandangkan 47 peratus Ahli Parlimen Finland terdiri daripada kaum Hawa.

Finland yang menganggotai Parlimen Eropah termasuk Belgium, Sepanyol dan Sweden mengamalkan Kesetaraan Gender Eropah (EIGE) yang melibatkan sekurang-kurangnya 40 peratus daripada setiap jantina.

Situasi berkenaan berbeza dengan Cyprus, Greece, Hungary dan Malta yang mana sumbangan wanita dalam parlimen kurang daripada 20 peratus.

Justeru, Finland mempunyai alasan kukuh meraikan pelantikan perdana menteri wanita yang bukan sahaja aktif dalam politik, malah berpotensi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Kini beliau telah membentuk kerajaan baharu terdiri daripada 12 menteri wanita dan tujuh menteri lelaki. Antaranya ialah Menteri Pendidikan, Li Andersson berusia 32 tahun dan Menteri Kewangan, Katri Kulmuni, 32.

Ia termasuklah Menteri Dalam Negeri, Maria Ohisalo berusia 34 tahun, pemimpin Parti Liga Hijau yang merupakan pihak berkuasa paling berpengaruh berhubung isu-isu imigresen.

Pada tahun lalu, Finland diiktiraf negara paling gembira di dunia berdasarkan satu tinjauan tahunan.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *