‘Menjaga Jodoh Orang Lain’ Single Terbaru Ara Johari dari Jakarta

Penyanyi terkenal Ara Johari baru-baru ini melancarkan single terbarunya yang penuh emosi, Menjaga Jodoh Orang Lain (MJOL), hasil karya yang diinspirasikan oleh pengalaman peribadinya melalui fasa putus cinta. Lagu balada ini dirangka untuk menyentuh hati sesiapa yang pernah melalui detik-detik sukar dalam percintaan.

Lagu ini memberi kesan pada saya kerana pada waktu itu, saya sedang mengalami kesedihan yang mendalam, dan lagu ini seolah-olah melambangkan rasa sakit yang saya rasakan,” kata Ara. Beliau percaya pendengar yang pernah menghadapi situasi serupa akan merasai keintiman emosi yang dikemukakan dalam lagu ini.

Ara Johari, nama sebenar Nurfarrah Izzatie Binti Johari, 27, mengakui bahawa Menjaga Jodoh Orang Lain mempunyai makna yang mendalam baginya. “Saya jatuh cinta pada lagu ini sejurus selepas mendengar demo-nya.

Lagu Menjaga Jodoh Orang Lain (MJOL) dicipta oleh komposer dari Indonesia, Ilham Baso, yang terkenal dengan karya-karyanya untuk penyanyi terkemuka seperti Judika. Gubahan muzik lagu ini dihasilkan oleh Adrian Rahmat Purwanto, seorang penggubah muzik terkemuka dari Indonesia yang telah bekerjasama dengan artis seperti Mahalini, Lyodra, dan Keisya Levronka. Rakaman dilakukan di Bro’s Studio di Jakarta dengan bimbingan vokal daripada Bowo Soulmate.

Ara Johari meluahkan rasa syukurnya atas kesempatan untuk berkerjasama dengan pemuzik-pemuzik berpengalaman dari Indonesia. “Saya merasa bertuah dapat bekerjasama dengan pemuzik-pemuzik handal dari Indonesia. Ia merupakan satu pengalaman baru dalam perjalanan seni saya. Proses rakaman berjalan lancar, dan kerjasama dengan mereka sangat mudah dan cepat,” tambahnya.

Single Menjaga Jodoh Orang Lain (MJOL) telah dilancarkan dan kini boleh didengar di semua platform streaming sejak 31 Julai 2024. Diterbitkan oleh Universal Music Malaysia, lagu ini diharap dapat menarik perhatian pencinta muzik dan memberikan resonansi kepada mereka yang pernah merasai kesedihan hati.