Membudayakan al-Quran dalam kehidupan

SHAH ALAM – Penganjuran World #QuranHour adalah satu inisiatif baik, efektif dan bersesuaian dengan persekitaran dunia global sebagai sebuah perkampungan tanpa sempadan.

Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Mohd Nor Mamat berkata, walaupun amalan World #QuranHour bukanlah satu ibadah khusus ataupun sunnah, tetapi ia adalah kempen dan dakwah ke arah mempraktiskan ibadah membaca al-Quran, menghayati kandungannya dan membudayakan al-Quran dalam kehidupan.

Profesor Madya Dr Mohd Nor Mama

Profesor Madya Dr Mohd Nor Mama

Menurut Mohd Nor, ia dilihat sebagai satu syiar keagungan Islam dan metod dakwah yang meletakkan Islam sebagai sesuatu yang sangat dihormati di mata dunia.

“Berdasarkan mafhum yang disebut dalam al-Quran dan hadis, kemuliaan membaca al-Quran ini sangat banyak antaranya membaca dan mendengar al-Quran akan menjadi penenang hati dan membaca al-Quran juga menjanjikan pahala berganda.

“Kalau pun sukar untuk membacanya tetapi jika belajar secara bersungguh-sungguh memperbaiki bacaan maka dia akan mendapat pahala yang lebih dan apabila seseorang membaca dengan tajwid yang betul maka menambahkan lagi pahala bacaannya.

“Membaca al-Quran juga meninggikan martabat di dunia dan akhirat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, ahli al-Quran dan penghafaz al-Quran juga dijanjikan pahala berganda dan diberi syafaat menjamin sepuluh ahli keluarga untuk mengikutnya ke syurga.

Beliau berkata, al-Quran juga akan menjadi cahaya kepada manusia dalam menghadapi kegelapan kubur.

“Al-Quran akan menjadi pembela kita di padang mahsyar dan menjadi syafaat untuk masuk ke syurga,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Nor berkata, al-Quran dan Ramadan tidak boleh dipisahkan kerana kitab ALLAH SWT itu diturunkan pada bulan Ramadan.

“Membaca al-Quran pada bulan Ramadan digandakan pahalanya menjadi sepuluh kali ganda bagi setiap huruf dan pada bulan Ramadan juga adanya tuntutan amalan bertadarus setiap malam sepertimana sunnah Nabi Muhammad SAW yang bertadarus bersama Jibril AS.

“Situasi inilah yang menjadi asas kepada penganjuran pertandingan tilawah al-Quran peringkat dunia pada bulan Ramadan suatu ketika dahulu,” katanya.

Menurutnya, masyarakat Islam mestilah berusaha memperbanyakkan membaca al-Quran dan memperkukuhkan budaya membaca al-Quran dalam kehidupan, bukan sahaja membaca, memahami dan mempraktikkan pengajarannya dalam seluruh kehidupan.

“Sekurang-kurangnya di bulan Ramadan ini kita mulakan budaya membaca al-Quran setiap hari ataupun malam secara istiqamah sebagai rutin dalam kehidupan.

“Apa sahaja keputusan dalam kehidupan kita rujuklah kepada nas al-Quran dengan sokongan hadis sepanjang masa supaya kita sentiasa dalam sempadan reda-Nya,” katanya.

Beliau berkata lagi, renungkanlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara yang kalian tidak akan tersesat selamanya selama berpegang teguh dengan keduanya iaitu kitabullah dan sunnahku.” Riwayat Imam Malik.

Sementara itu, seorang pendakwah, Ustaz MK Azman Daud memberitahu, World #QuranHour adalah program yang memberi motivasi kepada umat Islam untuk membaca al-Quran secara beramai-ramai.

Ustaz MK Azman Daud

Ustaz MK Azman Daud

Menurutnya, sekurang-kurangnya mereka cuba untuk membaca al-Quran walaupun terdapat sedikit kesalahan.

“Sedar mereka jahil dalam ilmu tajwid, pasti mereka akan cuba mempelajarinya dengan mengikuti kelas-kelas al-Quran yang diadakan di masjid-masjid dan dianjurkan secara berkumpulan.

“Word #QuranHour juga dilihat sebagai satu medan untuk merapatkan ukhuwah antara mereka yang sayangkan al-Quran,” katanya.

Beliau berkata, umat Islam tanpa mengira kaum dan pandangan politik bersatu-padu bagi menjayakan program tersebut.

Tambahnya, membaca dan mentadabbur al-Quran adalah sikap orang yang mengambil ilmu, iktibar dan teladan daripada al-Quran.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *