Melaka buat persediaan rapi sertai World #QuranHour

Sebahagian warga Rumah Ngaji Sakinah Krubong yang menjayakan program tadarus dan tadabbur sepanjang Ramadan ini.

Sebahagian warga Rumah Ngaji Sakinah Krubong yang menjayakan program tadarus dan tadabbur sepanjang Ramadan ini.

MELAKA – Jawatankuasa Rumah Ngaji Negeri Melaka dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) membuat persiapan rapi menjelang program World #QuranHour bertemakan ‘Memanusiakan Manusia’ pada Khamis ini.

Penyelaras Rumah Ngaji Melaka, Nur Atikah Amir berkata, program yang disertai seramai 2,000 orang termasuk pelajar, kakitangan kerajaan pelbagai agensi dan orang awam itu akan diadakan serentak di beberapa perpustakaan negeri ini.

Menurutnya, penglibatan pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (Perpustam) bukan pertama kali, malah setiap tahun sekali gus memberi peluang kakitangan serta penduduk di kawasan sekitar untuk bersama menjayakan World #QuranHour yang mana tahun ini Surah Al-Insan menjadi surah pilihan.

“Tahun ini program besar World #QuranHour akan diadakan di Masjid Al-Azim dan seperti tahun lalu, Yang di-Pertua, Tun Mohd Ali Mohd Rustam akan bersama menjayakan program ini.

“Kita juga bersyukur kerajaan negeri termasuk jabatan mahupun agensi kerajaan sentiasa memberikan sokongan atas usaha baik ini untuk bersama mengamalkan dan menghayati al-Quran,” katanya.

Nur Atikah menunjukkan plakad World #QuranHour ketika ditemui di Masjid AL Azim, Bukit Pala di sini pada Selasa.

Nur Atikah menunjukkan plakad World #QuranHour ketika ditemui di Masjid AL Azim, Bukit Pala di sini pada Selasa.

Tambah Nur Atikah, sepanjang Ramadan ini juga lebih 10 Rumah Ngaji di negeri ini aktif dengan program bertadarus termasuk Rumah Ngaji Paya Rumput, Rumah Ngaji Kota Fesyen, Rumah Ngaji Jasin, Rumah Ngaji Krubong, Rumah Ngaji Taman Jati dan Rumah Ngaji Durian Tunggal.

Katanya, sebelum Ramadan lagi warga rumah Ngaji telah menyertai bengkel asas tadabbur yang lebih memberi fokus kepada penterjemahan ayat al-Quran.

“Jadi kita akan lebih mudah faham al-Quran dan kita dapat praktikkan agar al-Quran lebih meresap dalam diri kita.

“Saya percaya dengan penghayatan al-Quran akan memberi impak dalam hidup kita dan memberi kesan sangat baik dalam kehidupan,” katanya.

Sumber