McDonald’s sasar miliki 230 restoran pandu lalu baharu menjelang 2021

McDonald’s Malaysia menyasarkan untuk membuka 230 buah restoran pandu lalu baharunya menjelang 2021.

Pada tahun ini sahaja, rangkaian restoran makanan segera itu menyasarkan membuka 20 buah lagi sebagai tambahan kepada 167 restoran pandu lalu sedia setakat ini.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata, fokus terhadap segmen perniagaan pandu lalu di seluruh negara dibuat bagi memenuhi trend yang kian berubah dalam kalangan pelanggan yang mencari perkhidmatan mudah, pantas dan mesra untuk melengkapi gaya hidup yang sibuk.

Menurutnya, McDonald’s berbangga memimpin pasaran perkhidmatan pandu laju yang dikenali sebagai jenama dipercayai dan mudah di dapati di Malaysia.

“Segmen perniagaan pandu lalu menyumbang pertumbuhan yang cukup signifikan sejak pandu lalu dibuka di McDonald’s Titiwangsa pada 1988.

“Kami juga melihat purata pertumbuhan sebanyak 10 peratus tahun ke tahun untuk jualan pandu lalu bagi suku pertama 2019,” katanya pada Cabaran Hujung Minggu Pandu-Lalu McDonald’s yang berlangsung di McDonald’s Kota Damansara, baru-baru ini.

Tambahnya, menjelang 2021, McDonald’s Malaysia menyasarkan 70 peratus restoran di seluruh negara menjadi restoran pandu-lalu.

Pada majlis itu, McDonald’s Malaysia diiktiraf oleh Malaysia Book of Records bagi Penyertaan Paling Tinggi untuk Cabaran Pandu Lalu dalam Tempoh 24 Jam.

McDonald’s berjaya mencipta rekod baharu pada 27 April lalu dengan mencatatkan 164,235 kenderaan menggunakan perkhidmatan pandu lalu dalam tempoh 24 jam.

Cabaran Hujung Minggu Pandu Lalu McDonald’s telah diadakan pada 26 hingga 28 April lalu.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *