Malam kemuncak Kilauan Emas 2025 menyaksikan Mazleen dinobatkan sebagai juara musim ini selepas menewaskan lima peserta lain dengan markah keseluruhan 79.44 peratus. Persembahan bertenaga Mazleen menerusi lagu solo Bertamu Di Kalbu nyanyian asal Jaclyn Victor, serta lagu duet Naluri Cinta bersama Arip Kilauan Emas 4, berjaya memukau barisan juri dan penonton di Auditorium MBSA, Shah Alam.
Tempat kedua menjadi milik Zekrai dengan markah 78.58 peratus menerusi lagu Rembulan Kesangsian dan Mendung Tak Bererti Hujan yang dinyanyikan bersama Ayu Damit. Sementara itu, Nawary menduduki tempat ketiga dengan 73.12 peratus selepas mempersembahkan lagu Jangan Khianati Aku serta Bintang Kehidupan bersama Fuad Kilauan Emas 2. Zanie pula berada di tempat keempat, diikuti Ezan di tempat kelima dan Majid di tempat keenam.
Persembahan akhir yang bertemakan solo dan duet ini menampilkan barisan juri hebat terdiri daripada Erra Fazira, Ning Baizura, dan Roy Azman, manakala Datuk Yusof Haslam hadir sebagai juri jemputan. Pentas akhir ini dikendalikan oleh hos serasi, Kak Lina Pom Pom (Elly Mazlein) dan Joey Daud yang menceriakan suasana malam finale.

Seperti musim-musim terdahulu, pemarkahan peserta dinilai berdasarkan 70 peratus daripada juri profesional, 20 peratus daripada juri awam yang terdiri daripada penonton undangan, serta 10 peratus undian dalam talian oleh penonton di rumah.
Mazleen membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM30,000, trofi sumbangan Astro, pakej umrah kasih premium tajaan Khadim Ummah Holidays serta percutian 4 hari 3 malam ke Dubai tajaan Amartrips.com. Zekrai yang berada di tempat kedua menerima RM10,000 bersama trofi dan pakej percutian ke Bali, manakala Nawary membawa pulang RM5,000 serta percutian ke Danang, Vietnam. Peserta lain turut menerima wang tunai RM3,000 dan trofi sumbangan Astro.
Program Kilauan Emas 2025 turut disiarkan secara langsung di Astro Prima dan boleh distrim melalui Astro GO serta sooka. Rakan digital rasmi ialah Astro Gempak, manakala SINAR dan GEGAR menjadi rakan radio rasmi bagi musim ini.