MALAYSIA Airlines (MAS) menjelaskan, senarai kadar tambahan bagi bayaran bagasi oleh syarikat penerbangan itu yang tular dalam media sosial baru-baru ini adalah palsu.
MAS dalam satu kenyataannya semalam berkata, kadar bagasi tambahan (prabayar) masih berlandaskan tanda aras industri dan berdaya saing dengan apa yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan lain.
“Ada dua jenis kadar bagasi, satu untuk bagasi tambahan (prabayar) dan satu lagi untuk bagasi berlebihan. Bagi bagasi berlebihan yang dibayar ketika daftar masuk di lapangan terbang, kadarnya tetap sama.
“Kadar untuk bagasi tambahan (prabayar) adalah dinamik bergantung kepada sektor, promosi, permintaan dan sebagainya.
“Penumpang bagaimanapun dapat mengetahui kadar itu ketika membuat tempahan melalui my booking atau ketika aliran tempahan,” kata MAS dalam satu kenyataan.
Pada masa ini, senarai caj untuk tambahan bayaran bagasi untuk Ekonomi Lite untuk MAS tanpa sebarang elaun bagasi tular menerusi media sosial.
Menerusi kenyataan itu, MAS menasihatkan penumpang untuk klik pada pautan mhcare.malaysiaairlines.com/faq/s/article/Excess-Baggage-What-is…, bagi melihat struktur yang sah. – Bernama