Manisnya Nanas, Meriahnya Karnival – Jom Heboh Gegarkan Johor Bahru!

Johor Bahru bakal menjadi tumpuan utama apabila Karnival Jom Heboh kembali menggamatkan selatan tanah air hujung minggu ini. Bermula dari 27 hingga 29 Jun 2025 di Padang B, Angsana Johor Bahru Mall, ribuan pengunjung dijangka membanjiri lokasi ini untuk menikmati pelbagai aktiviti menarik sempena sambutan Hari Nanas Malaysia yang diraikan secara besar-besaran tahun ini. Buah tropika yang menjadi kebanggaan negara itu bukan sahaja diraikan sebagai komoditi agro yang penting, malah diangkat sebagai simbol kemeriahan budaya tempatan menerusi karnival yang paling ikonik di Malaysia.

Hari Nanas Malaysia merupakan inisiatif penting bagi memartabatkan industri nanas negara, dengan pelbagai aktiviti seperti Pertandingan Tart Nanas, Seminar Industri Nanas Antarabangsa 2025, serta percubaan mencipta rekod Malaysia Book of Records untuk “Most Pineapple Tart Bakes in the Event”. Pengunjung juga berpeluang mencuba pelbagai produk berasaskan nanas, menyertai demonstrasi dan uji rasa, serta membawa pulang buah nanas secara percuma. Aktiviti keluarga seperti pertandingan e-sukan, kupas nanas, teka silang kata dan rasa buah menjadikan sambutan kali ini sarat dengan pengalaman menyeronokkan untuk semua lapisan umur.

Studio Tonton Drama Sangat pula menawarkan pelbagai pertandingan yang pasti menghiburkan seperti Pertandingan Nasyid Terbuka, Tarian Zapin Kreatif dan Ejen Ali Explorace khas untuk si kecil. Tidak cukup dengan itu, peminat drama juga berpeluang bertemu barisan selebriti popular seperti Ahmad Syafiq, Kodi Rasheed, Faizal Hussein, Didie Alias dan ramai lagi yang membintangi drama kegemaran penonton. Ini adalah peluang terbaik untuk peminat merapatkan jurang dengan bintang kesayangan mereka dalam suasana santai dan mesra.

Konsert Jom Heboh pula akan menghidupkan malam minggu dengan persembahan barisan penyanyi terkenal tanah air seperti Nabila Razali, Jaclyn Victor, Amir UK’s, Wany Kayrie dan ramai lagi. Persembahan ini akan berlangsung pada 28 dan 29 Jun bermula jam 9 malam dan dijangka menarik ribuan peminat yang ingin menikmati malam yang penuh irama dan warna.

Antara tarikan lain termasuk pengalaman simulasi pemanduan di NSTP Car Sim Experience, reruai interaktif Studio Jom Heboh dan pelbagai cabutan bertuah dengan hadiah menarik. Tidak dilupakan ialah Kedai Jom Heboh yang menawarkan barangan eksklusif seperti t-shirt, topi dan barangan rasmi Ejen Ali serta pelbagai cenderahati berjenama Media Prima. Lebih 170 reruai turut serta termasuk jenama-jenama besar seperti TikTok Shop, 100PLUS, CelcomDigi dan banyak lagi yang menjanjikan promosi hebat dan tawaran istimewa.

Satu lagi acara yang dijangka menarik minat warga Johor ialah program ‘Jom Selawat’ yang akan berlangsung pada malam Jumaat, 27 Jun di Pentas Pavilion Hari Nanas Malaysia. Dengan kehadiran tokoh-tokoh terkenal seperti Fahmi Tajuddin dan Ustaz Azam Al-Kankari serta persembahan kumpulan Qasidah Fitrah Al-Masarrah, ia menjadi pengisian rohani yang memperkukuh semangat kebersamaan dan kekeluargaan dalam sambutan kali ini.

Karnival Jom Heboh sememangnya tidak pernah mengecewakan. Dilengkapi dengan hiburan, ilmu, gaya hidup dan budaya tempatan, acara ini menjanjikan pengalaman menyeluruh yang memuaskan hati. Lebih manis lagi, pengunjung berpeluang membawa pulang hadiah lumayan seperti iPad, baju eksklusif dan pelbagai barangan menarik.

Warga Johor dan seluruh penduduk selatan dijemput hadir beramai-ramai ke Karnival Jom Heboh x Hari Nanas Malaysia dari 27 hingga 29 Jun ini. Bawa keluarga, sahabat dan jiran tetangga untuk sama-sama memeriahkan acara padang paling ikonik negara yang kini lebih meriah, lebih manis dan penuh kejutan. Untuk maklumat lanjut, layari www.jomheboh.com.my atau ikuti media sosial rasmi @jomhebohofficial di Facebook dan Instagram.

Jangan lupa gunakan tanda pagar rasmi #TV3SentiasaBersamamu #KarnivalJomHeboh dan #HariNanasMalaysia untuk kongsikan detik istimewa anda di karnival yang dinanti-nantikan ini.