Tag: #JomHeboh2025

  • Hari Nanas Malaysia Gegar Selatan! Hampir 400,000 Hadir Raikan Kemeriahan Karnival Jom Heboh Johor

    Hari Nanas Malaysia Gegar Selatan! Hampir 400,000 Hadir Raikan Kemeriahan Karnival Jom Heboh Johor

    Karnival Jom Heboh (KJH) yang berlangsung di Padang B, Angsana Johor Bahru Mall membuktikan tarikannya tersendiri apabila hampir 400,000 pengunjung hadir memeriahkan acara selama tiga hari berturut-turut dari 27 hingga 29 Jun 2025. Edisi kali ini cukup istimewa kerana diadakan sempena sambutan Hari Nanas Malaysia yang diraikan secara besar-besaran buat julung kalinya. Pelbagai aktiviti interaktif, persembahan hiburan dan program kerohanian menghiasi setiap ruang karnival, menjadikan KJH Johor antara yang paling meriah dalam sejarah penganjurannya. Majlis perasmian disempurnakan oleh YB Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia pada 27 Jun 2025, disaksikan ribuan pengunjung yang hadir tanpa mengira cuaca panas terik mahupun hujan.

    Karnival anjuran Media Prima Berhad (MPB) ini dianjurkan bersama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) yang membawa skala persembahan luar biasa bagi memartabatkan industri nanas tempatan. Selain mempromosikan produk dan hasil keluaran tempatan, karnival ini juga menjadi platform menghargai sumbangan pengusaha nanas sejak zaman penjajahan British. Tarikan utama seperti dekorasi landskap nanas dan ‘Gunung Nanas’ menjadi lokasi tumpuan pengunjung, selain pameran pokok hiasan bromeliad yang memikat dengan corak daunnya yang unik.

    Pencapaian membanggakan turut dicatat apabila LPNM berjaya mencipta rekod Malaysia Book of Records bagi kategori “Most Pineapple Tarts Baked in an Event” dengan penghasilan serentak sebanyak 32,040 tart nanas. Tart-tart tersebut kemudiannya diagihkan secara percuma kepada ribuan pengunjung sebagai tanda penghargaan dan kemuncak simbolik sambutan Hari Nanas Malaysia. Acara ini turut dimeriahkan dengan pertandingan tart nanas ‘Fresh From Oven’ yang menawarkan hadiah lumayan bernilai keseluruhan melebihi RM28,000. Beberapa acara sokongan lain turut dijalankan di sekitar Johor Bahru seperti pertandingan PUBG Mobile, bowling, badminton dan bola sepak bagi menyemarakkan lagi sambutan.

    Antara detik paling menyentuh sepanjang karnival ialah program kerohanian “Jom Selawat” sempena sambutan Awal Muharram yang berlangsung pada malam 27 Jun. Menampilkan Dai’ Azam Al-Kankari sebagai pengacara dan Ustaz Jazlan Abdullah bersama Ustaz Esby Islami sebagai panel forum, acara ini bertemakan “Dulu lain, sekarang lain. Hijrah Satu Perubahan” dan diserikan dengan persembahan Qasidah oleh Firqah Al-Masarrah. Ia berjaya menghimpunkan hampir 1,000 pengunjung dan memberi pengisian rohani yang mendalam di sebalik kemeriahan karnival.

    Sebanyak lebih 170 reruai disediakan sepanjang KJH termasuk jenama korporat dan usahawan PKS tempatan. Aktiviti lain yang mencuri tumpuan termasuklah NSTP Racing Sim, konvoi Harley Davidson, persembahan supercar, senaman Pound Stick Workout, pemeriksaan pergigian percuma oleh KKM, dan pameran TVET yang mengetengahkan pelbagai peluang kerjaya serta kemahiran teknikal.

    Karnival ini turut menarik pelawat antarabangsa dari Singapura dan Indonesia, membuktikan kehebatan acara ini menembusi sempadan. Dua iPad serta t-shirt eksklusif KJH menjadi milik pengunjung bertuah yang hadir pada hujung minggu, sementara pelbagai hadiah dan barangan percuma turut diagihkan sepanjang karnival berlangsung.

    Reruai Studio Tonton Drama Sangat juga mencuri perhatian apabila menjadi medan pertemuan peminat bersama selebriti popular termasuk Izzati Nizam, Farah Nabilah Wazer, Fahmi Tajudin, Fatin Hamimah, Barr Zainzan dan Affiza Azmi. Artis ternama seperti Ahmad Syafiq, Kodi Rasheed, Shah Iskandar, Faizal Hussein, Kirana Batrisyia, Liza Abdullah, Aleza Shadan dan Didie Alias turut memeriahkan suasana.

    Pertandingan Zapin Terbuka Kanak-Kanak yang diadakan di reruai tersebut menyaksikan bakat muda menyerlah dengan penuh semangat. Kumpulan Tari Aliff Asyoka muncul juara membawa pulang RM1,000, diikuti Sanggar Citra Sari di tempat kedua (RM700), dan Ghufron Academy di tempat ketiga (RM500).

    Malam kemuncak karnival dimeriahkan dengan Konsert Jom Heboh yang berlangsung dua malam berturut-turut (28 dan 29 Jun), dikendalikan oleh Ayu Hot FM dan Hanif Miswan. Persembahan hebat daripada barisan artis popular seperti Tuju & Loca B, Wany Kayrie, Haiza, Azlan Typewriter, Kai Deva, Nabila Razali, Sham Visa, Drama Band, Amir UK’s, K.O.I dan Jaclyn Victor berjaya menghiburkan ribuan pengunjung yang membanjiri kawasan konsert.

    Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini Karnival Jom Heboh, layari www.jomheboh.com.my atau ikuti @jomhebohofficial di Facebook dan Instagram. Kongsikan momen menarik anda dengan tanda pagar rasmi #KarnivalJomHeboh #KJH #HariNanasMalaysia. Jangan lepaskan peluang untuk gegarkan lokasi seterusnya!

  • Manisnya Nanas, Meriahnya Karnival – Jom Heboh Gegarkan Johor Bahru!

    Manisnya Nanas, Meriahnya Karnival – Jom Heboh Gegarkan Johor Bahru!

    Johor Bahru bakal menjadi tumpuan utama apabila Karnival Jom Heboh kembali menggamatkan selatan tanah air hujung minggu ini. Bermula dari 27 hingga 29 Jun 2025 di Padang B, Angsana Johor Bahru Mall, ribuan pengunjung dijangka membanjiri lokasi ini untuk menikmati pelbagai aktiviti menarik sempena sambutan Hari Nanas Malaysia yang diraikan secara besar-besaran tahun ini. Buah tropika yang menjadi kebanggaan negara itu bukan sahaja diraikan sebagai komoditi agro yang penting, malah diangkat sebagai simbol kemeriahan budaya tempatan menerusi karnival yang paling ikonik di Malaysia.

    Hari Nanas Malaysia merupakan inisiatif penting bagi memartabatkan industri nanas negara, dengan pelbagai aktiviti seperti Pertandingan Tart Nanas, Seminar Industri Nanas Antarabangsa 2025, serta percubaan mencipta rekod Malaysia Book of Records untuk “Most Pineapple Tart Bakes in the Event”. Pengunjung juga berpeluang mencuba pelbagai produk berasaskan nanas, menyertai demonstrasi dan uji rasa, serta membawa pulang buah nanas secara percuma. Aktiviti keluarga seperti pertandingan e-sukan, kupas nanas, teka silang kata dan rasa buah menjadikan sambutan kali ini sarat dengan pengalaman menyeronokkan untuk semua lapisan umur.

    Studio Tonton Drama Sangat pula menawarkan pelbagai pertandingan yang pasti menghiburkan seperti Pertandingan Nasyid Terbuka, Tarian Zapin Kreatif dan Ejen Ali Explorace khas untuk si kecil. Tidak cukup dengan itu, peminat drama juga berpeluang bertemu barisan selebriti popular seperti Ahmad Syafiq, Kodi Rasheed, Faizal Hussein, Didie Alias dan ramai lagi yang membintangi drama kegemaran penonton. Ini adalah peluang terbaik untuk peminat merapatkan jurang dengan bintang kesayangan mereka dalam suasana santai dan mesra.

    Konsert Jom Heboh pula akan menghidupkan malam minggu dengan persembahan barisan penyanyi terkenal tanah air seperti Nabila Razali, Jaclyn Victor, Amir UK’s, Wany Kayrie dan ramai lagi. Persembahan ini akan berlangsung pada 28 dan 29 Jun bermula jam 9 malam dan dijangka menarik ribuan peminat yang ingin menikmati malam yang penuh irama dan warna.

    Antara tarikan lain termasuk pengalaman simulasi pemanduan di NSTP Car Sim Experience, reruai interaktif Studio Jom Heboh dan pelbagai cabutan bertuah dengan hadiah menarik. Tidak dilupakan ialah Kedai Jom Heboh yang menawarkan barangan eksklusif seperti t-shirt, topi dan barangan rasmi Ejen Ali serta pelbagai cenderahati berjenama Media Prima. Lebih 170 reruai turut serta termasuk jenama-jenama besar seperti TikTok Shop, 100PLUS, CelcomDigi dan banyak lagi yang menjanjikan promosi hebat dan tawaran istimewa.

    Satu lagi acara yang dijangka menarik minat warga Johor ialah program ‘Jom Selawat’ yang akan berlangsung pada malam Jumaat, 27 Jun di Pentas Pavilion Hari Nanas Malaysia. Dengan kehadiran tokoh-tokoh terkenal seperti Fahmi Tajuddin dan Ustaz Azam Al-Kankari serta persembahan kumpulan Qasidah Fitrah Al-Masarrah, ia menjadi pengisian rohani yang memperkukuh semangat kebersamaan dan kekeluargaan dalam sambutan kali ini.

    Karnival Jom Heboh sememangnya tidak pernah mengecewakan. Dilengkapi dengan hiburan, ilmu, gaya hidup dan budaya tempatan, acara ini menjanjikan pengalaman menyeluruh yang memuaskan hati. Lebih manis lagi, pengunjung berpeluang membawa pulang hadiah lumayan seperti iPad, baju eksklusif dan pelbagai barangan menarik.

    Warga Johor dan seluruh penduduk selatan dijemput hadir beramai-ramai ke Karnival Jom Heboh x Hari Nanas Malaysia dari 27 hingga 29 Jun ini. Bawa keluarga, sahabat dan jiran tetangga untuk sama-sama memeriahkan acara padang paling ikonik negara yang kini lebih meriah, lebih manis dan penuh kejutan. Untuk maklumat lanjut, layari www.jomheboh.com.my atau ikuti media sosial rasmi @jomhebohofficial di Facebook dan Instagram.

    Jangan lupa gunakan tanda pagar rasmi #TV3SentiasaBersamamu #KarnivalJomHeboh dan #HariNanasMalaysia untuk kongsikan detik istimewa anda di karnival yang dinanti-nantikan ini.