Selepas hampir 13 tahun menyepi daripada dunia nyanyian, Lucky Joe akhirnya kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan single raya terbaharu berjudul Senyum Raya, sekali gus menandakan kemunculan semula beliau bersempena ulang tahun kelahirannya yang ke-45 pada tahun 2026. Pernah aktif sebagai penyanyi dari tahun 2000 hingga 2012 dengan sembilan single merangkumi genre pop, dangdut dan poco-poco, Lucky Joe memilih untuk berehat daripada dunia nyanyian sebelum meneruskan perjalanan seni di belakang tabir sebagai pengurus artis, penulis skrip drama televisyen, drama TikTok dan sitkom, selain terlibat dalam bidang hartanah serta pengurusan acara. Walaupun tidak lagi berada di hadapan pentas, bakat kreatifnya terus subur apabila beliau aktif mencipta lagu untuk beberapa label rakaman dan artis terkenal. Kini, beliau memilih bulan kelahiran sebagai momen istimewa untuk menghadiahkan karya baharu kepada diri sendiri dan peminat setia menerusi “Senyum Raya” yang dilancarkan pada 21 Februari 2026 di 11 platform muzik digital antarabangsa. Dicipta dalam tempoh 20 hari, lagu raya pop yang ringkas, segar dan mudah diingati ini membawa mesej keceriaan, keikhlasan memohon maaf serta kehangatan Aidilfitri bersama keluarga, sekali gus mengangkat nilai kasih sayang, kemaafan dan kesyukuran. Diterbitkan oleh Mahardika Production dengan susunan muzik oleh Seefar, serta di bawah label independen DragonBeat Records, kemunculan semula ini disifatkan Lucky Joe sebagai titik baharu dalam perjalanan seninya dan bukti kesediaannya untuk kembali aktif menghasilkan karya yang dekat di hati masyarakat.
Lucky Joe kembali memeriahkan Syawal dengan single raya terbaharu, “Senyum Raya”, sekali gus menandakan comeback selepas 13 tahun.