Kumpulan muzik indie funk pop, Late Night Frequency (LNF), terus memperluas pengaruh mereka dalam memperjuangkan kesedaran kesihatan mental dengan pelancaran single terbaru mereka berjudul “BPD” atau Borderline Personality Disorder. Lagu ini bukan sahaja menjadi sebahagian daripada album penuh mereka yang bakal dilancarkan hujung tahun ini, tetapi juga merupakan langkah pertama dalam usaha mereka untuk membuka perbincangan lebih lanjut mengenai masalah kesihatan mental yang semakin meningkat di kalangan masyarakat.
“BPD” memberi tumpuan kepada gangguan mental yang dikenali sebagai Borderline Personality Disorder, di mana individu yang mengalaminya menghadapi cabaran besar dalam kestabilan emosi dan hubungan interpersonal. Lirik lagu ini ditulis oleh vokalis utama LNF, Dr. Moja Salim, seorang doktor perubatan berkelayakan yang pernah bertugas di Jabatan Psikiatri, Hospital Serdang. Dengan pengalaman profesionalnya dalam bidang perubatan, Dr. Moja membawa perspektif yang lebih mendalam mengenai simptom BPD dan menerjemahkannya ke dalam bentuk muzik yang menyentuh perasaan.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, kesihatan mental di negara ini semakin menjadi isu yang membimbangkan, terutamanya dalam kalangan remaja dan dewasa muda. Laporan terbaru menunjukkan bahawa 14% daripada kes individu yang mencederakan diri sendiri dan dimasukkan ke hospital menunjukkan tanda-tanda BPD. Melalui lagu ini, LNF berharap untuk mengurangkan stigma terhadap individu yang mengalami gangguan mental dan memberi pengetahuan lebih mendalam tentang isu ini kepada masyarakat.
Sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran, LNF turut bekerjasama dengan pakar psikiatri, Dr. Aida Harlina dari Hospital Cyberjaya, untuk mengadakan beberapa sesi wawancara yang disiarkan melalui media sosial mereka. Sesi ini bertujuan untuk memberikan penjelasan yang lebih jelas tentang gejala-gejala BPD, serta memberi panduan mengenai cara untuk mendapatkan bantuan yang sewajarnya. Ini adalah usaha untuk memastikan masyarakat lebih peka terhadap kesihatan mental dan cara-cara untuk membantu mereka yang memerlukan sokongan.

Pada 1 Februari 2025, muzik video rasmi untuk lagu “BPD” turut dilancarkan di Jupiter Station SS15, Subang Jaya. Acara pelancaran ini turut dimeriahkan dengan persembahan oleh penulis dan pelukis K.W., Dataran Kertas, dan Insiden Ruang Legar, selain perkongsian mengenai therapy oleh Puan Mashitah, Psikologi Klinikal di Hospital Cyberjaya. Muzik video yang diarahkan oleh Hashra Shamsudin ini adalah hasil kerjasama antara Late Night Music, Haru Biru Films, Frames Matter, dan Juicy Brain. Muzik video ini kini boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Late Night Frequency.
LNF berharap dapat membuka lebih banyak ruang perbincangan mengenai gangguan mental, sekaligus menghapuskan stigma yang sering dikaitkan dengan kesihatan mental. Mereka percaya bahawa muzik adalah satu medium yang kuat untuk menyampaikan mesej penting ini dan berharap agar masyarakat lebih terbuka dalam menangani isu-isu berkaitan kesihatan mental, serta memberi sokongan yang diperlukan oleh individu yang terkesan.
Artist: Late Night Frequency
Composer: Dr. Moja Salim & Ringoedahar
Author: Dr. Moja Salim
Mixing/Mastering: Taja Mustapha
Producer/Co-Producers: Taja Mustapha, Dr. Moja Salim, Hazeeq Azhar